Buletin

MAKLUMAT PERIBADI 1.13 JUTA PELANGGAN NISSAN CANADA DICEROBOH

Nissan Canada Finance hari ini memberitahu maklumat peribadi lebih sejuta pelanggannya di Kanada mungkin telah diakses oleh pihak tidak bertanggungjawab.   

Dalam satu kenyataan rasmi, Nissan Canada menyatakan bahawa pelanggan yang terlibat ialah mereka yang membiayai kenderaan menerusi Nissan Canada Finance (NCF) dan Infiniti Financial Services Canada.

Antara maklumat yang telah diceroboh termasuklah nama, alamat, jenis/model kereta, nombor pengenalan kenderaan (VIN), skor kredit, jumlah pinjaman dan bayaran bulanan.

“Kami masih menyiasat apakah maklumat peribadi yang terjejas,” kata Nissan Canada.

Walaupun angka sebenar pelanggan yang terlibat masih belum diketahui, NCF dilapor telah menghubungi semua pelanggan sekarang dan sebelum ini (sekitar 1.13 juta orang).

“Buat masa sekarang, tiada petunjuk pelanggan yang membiayai kenderaan di luar Kanada terlibat. Maklumat kad pembayaran juga masih selamat,” kata Nissan Canada lagi.   

Nissan Canada Financing menawarkan semua 1.3 juta pelanggannya dengan perkhidmatan pemantauan kredit selama 12 bulan menerusi TransUnion secara percuma.

Seorang ahli perniagaan dari Toronto, Evan Kosiner menyatakan dia diberitahu tentang pencerobohan data itu menerusi satu e-mel dan kurang berpuas hati dengan maklum balas yang diterima.

“Saya rasa orang ramai terlalu mudah untuk memberikan maklumat peribadi masing-masing. Apabila anda memberi maklumat ini kepada sesebuah organisasi, mereka mestilah melindunginya,” kata Kosiner.  

Google ads
"
"
Back to top button