Buletin

HYUNDAI i30 FASTBACK N – 2 PILIHAN OUTPUT ENJIN TURBO, 250PS & 275PS

Sebelum melakukan premiere dunia secara rasmi pada acara Paris Motor Show 2018, Hyundai i30 Fastback N sudahpun mencatatkan rekod baharu.

Dipandu oleh pemandu profesional Hyundai Motorsport, Thierry Neuville dan Gabriele Tarquini jentera tersebut melakar rekod dunia sebagai coupe 5 pintu paling pantas merentas laluan bengkang-bengkok sejauh 12.8km di kawasan barat Denmark dalam masa cuma 8:18.49 minit.

i30 Fastback N merupakan model berprestasi tinggi kedua oleh Hyundai di pasaran Eropah. Ia dilihat bakal mengikut langkah i30 N hatchback 5 pintu yang mendapat sambutan hangat daripada pengguna.

Hampir 3,000 unit i30 N berjaya dijual dalam tempoh enam bulan pertama 2018 di Eropah. Sementara 100 unit Edisi Pertama habis dijual di Jerman dalam masa 48 jam sahaja.

i30 Fastback N dilihat menerima banyak falsafah rekaan model hatchback tersebut. Jadi, ia dipasang dengan gril, bampar hadapan dan bampar belakang N, selain garis merah pada bahagian bawahnya.

Jentera itu dilengkapi dua peredam ekzos berkembar. Untuk menyerlahkan lagi spoiler belakang, kemasan hitam berkilat dipasang. 

Ruang kabin pula menampilkan susun atur yang bersih dan kemas. Kawasan itu diserlahkan menerusi stereng N serta jahitan benang berwarna merah pada tempat duduk dan tuil gear.

Aspek praktikaliti tidak diabaikan keranan ruang kargo 460 liter itu boleh ditambah menjadi 1,351 liter apabila tempat duduk dilipat.

Pelanggan boleh memilih di antara dua output kuasa daripada enjin turbo bersesaran 2.0 liter. Enjin standard mampu menjana kuasa 250PS dengan tahap penggunaan bahan api sekitar 7.0l/100km.

Sementera versi berprestasi lebih tinggi berupaya menghasilkan kuasa 275PS dengan penggunaan minyak kira-kira 7.1l/100km. Kedua-dua enjin itu menjana tork 353Nm bersama kelajuan maksimum 250km/j.

i30 N Fastback dilengkapi sistem N Grin Control yang membolehkan pemandu memilih lima mode pemanduan berbeza. Talaan Eco, Normal, Sport, N and N Custom itu boleh dipilih menerusi butang khas pada stereng.

Dari segi keselamatan, i30 Fastback N hadir dengan pelbagai teknologi termasuklah Hyundai SmartSense, Autonomous Emergency Braking, Driver Attention Alert, Lane Keeping Assist dan High Beam Assist.

Diinspirasikan oleh sukan bermotor, rangkaian model Hyundai N dibina daripada kejayaan penyertaan Hyundai dalam Kejohanan Rali Dunia FIA (WRC) dan siri Touring Car Racing (TCR) International.

Model N dihasilkan di pusat R&D Hyundai Motor di Namyang, Korea Selatan, sebelum diuji di litar Nürburgring, Jerman.

GALERI 

Google ads
Back to top button