Buletin

SELEPAS 10 TAHUN, INFINITI UCAP SELAMAT TINGGAL PADA F1

Infiniti akan menarik diri dari perlumbaan Formula Satu (F1) pada penghujung musim 2020 selepas 10 tahun menaja pasukan Red Bull Racing dan Renault.

Ia membenarkan pengeluar kenderaan itu memberi tumpuan kepada usaha dan sumber dalam mencabar pesaing premiumnya serta portfolio produk elektriknya.

Pada awal penglibatan F1, Infiniti bertindak sebagai penaja komersial untuk pasukan Red Bull pada tahun 2011 sebelum beralih sebagai penaja utama sekali gus melonjakkan jenama berkenaan.

Syarikat berpangkalan di Jepun itu semakin aktif dalam penglibatan F1 pada tahun 2016 apabila dilantik menjadi rakan teknikal Renault DP World F1 Team dan bersama-sama membangunkan Sistem Pemulihan Tenaga (ERS) pasukan terbabit.

“Kami sangat berbangga dengan penglibatan dalam kancah F1 dan kejayaan serta pencapaian dicapai selama ini.

“Penglibatan dalam sukan ini semakin meningkat sepanjang tempoh 10 tahun malah bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran jenama tetapi memperkukuhkan kelayakan teknikal dan kemampuan kami,” kata Bos Nissan dan Infiniti Motorsports, Tommaso Volpe.

Beliau menambah, ia merupakan masa sesuai untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu dan trenkuasa masa hadapan.

Melalui kerjasama bersama Renault F1, Infiniti telah membangunkan prototaip Q60 Project Black S menampilkan sistem ERS.

Berdasarkan model Q60 Red Sport 400, Project Black S menampilkan dua sistem penuaian tenaga, pek bateri 4.4 kWh, e-turbo dan motor elektrik dipadankan pada gandar belakang.

Secara keseluruhan, enjin hybrid berkembar 3.0 liter V6 tersebut mampu menjana kuasa 563 hp dan memecut 0-100 km/j di bawah 4 saat. -carscoops

Google ads
Back to top button