Artikel Pilihan

10 MODEL KONSEP HEBAT DARIPADA PENGELUAR YANG TIDAK DISANGKA

Bila model konsep diperkenalkan oleh syarikat-syarikat hebat, kita akan merasa teruja kerana yakin ia bakal menjadi hala tuju model-model mereka di masa hadapan. Kalau pun tidak dikeluarkan sepenuhnya, setidak-tidaknya beberapa ciri khas akan dibangunkan mengikut acuan model konsep tadi.

Tapi sekali-sekala kita juga dikejutkan dengan kehadiran model-model konsep yang tidak kurang hebatnya tetapi daripada pengeluar kereta-kereta harian yang membosankan (jangan marah aa). Walaupun ia biasanya jauh dari dihasilkan tetapi ia juga membuktikan yang pereka mereka pun kadang-kadang menyengat dan bukannya mengelamun sepanjang masa sambil main games dan merekacipta kereta yang membosankan tapi laku keras di pasaran.

 

Volkswagen W12

Volkswagen memang menghasilkan kereta-kereta hebat dan mewah untuk golongan berjaya. Model prestasi tinggi mereka semestinya adalah Golf GTI dan Golf R yang memang terbukti kehebatannya. Laju tapi bagi kami rupanya agak kurang kick. Mungkin ada kurang setuju tapi rupa paras kereta ni memang tak berubah dari dulu sampai sekarang.

Lain pula ceritanya dengan model konsep mereka yang diperkenalkan pada tahun 1997. Ia dinamakan W12 dengan enjin mid-rear 5.6-liter W12. Enjin jugalah yang kemudiannya berevolusi menjadi enjin W16 Bugatti Veyron. Ia kemudian dinaik taraf kepada versi roadster pacuan roda belakang dengan kelajuan maksima 355 km/j dan dinamakan W12 Nardo.

Peugeot Onyx

Peugeot kini sudah banyak menghasilkan kereta-kereta yang sedap mata memandang tetapi rata-rata keretanya mempunyai rekaan yang sama (kecuali RCZ). Menarik tetapi belum cukup ummph.

Peugeot Onyx yang diperkenalkan pada tahun 2012 ni lain pula ceritanya. Ia memang berbeza dari Peugeot biasa dan menggunakan pelbagai material istimewa luar dan dalam. Bahagian pintu dan fender depan diperbuat daripada tembaga yang digilap tanpa semburan cat memberikan efek berbeza. Casisnya pula diperbuat daripada karbon dan ia dikuasakan oleh sistem hibrid gabungan enjin 3.7-liter V8 600hp dan motor elektrik yang memberikan tambahan 80 hp ke roda belakang.

Infiniti EMERG-E

Infiniti merupakan cabang mewah Nissan sama seperti Lexus kepada Toyota. Walaupun kereta-kereta yang dihasilkan adalah cukup mewah dan mahal dari dari mata kami ia masih kurang err menawan.

Tapi pada 2012, Infiniti telah menghasilkan sebuah model konsep yang diasaskan daripada platform Lotus Evora (patutlah cantik). Emerg-E menggunakan dua motor janaan elektrik yang memacu dua roda belakang dengan gabungan output 4.02 hp. Ia juga mempunyai enjin 3-selinder yang berfungsi untuk mengecas pek baterinya bila kekurangan kuasa. Ia merupakan sebuah prototaip yang berfungsi sepenuhnya dan sepatutnya dikeluarkan jika Infiniti ingin menukar imej kepada pengeluar kenderaan yang menarik.

Kia GT4 Stinger

Kia sekarang memang bukan Kia yang dahulu, ingat lagi model-model Kia terdahulu? Kini usaha keras mereka berhasil dan Kia boleh berbangga dengan produk-produk keluaran mereka.

Perintis kepada model Stinger terbaru mereka ialah model sport konsep mereka yang dinamaka GT4 Stinger yang diperkenalkan di Detroit dan merupakan sebuah model 2+2. Ia semestinya hasil lakaran Peter Schreyer dan menggunakan enjin 2.0-liter turbo yang mampu menjana 320 hp kuasa. Semua kuasanya ini dihantar ke roda belakang dan ia sememangnya sebuah konsep yang sangat menarik dari syarikat yang menghasilkan kereta-kereta membosankan ketika itu.

Hyundai PassoCorto

Satu ketika dahulu Hyundai pun sekapal dengan Kia dengan menghasilkan kereta-kereta yang tak sanggup kami nak komen. Adalah juga mereka keluarkan model Hyundai Coupe tapi memang jauh la kalau dibandingkan dengan model yang sekelas dari Jepun.

Beberapa tahun dahulu mereka telah memperkenalkan model konsep berbeza dan dinamakan PassoCorto (bukan pasir kotor ya tuan-tuan). Ia merupakan hasil rekaan IED dari Turin dengan enjin 1.6-liter turbo. Ia cukup menarik dan hampir setanding dengan Alfa Romeo 4C.

Renault DeZir

Kalau dulu mereka cuma menghasilkan kereta-kereta untuk orang tua kini hot hatch keluaran mereka memang menjadi idaman golongan muda termasuk Pak Amid. Ia menjadi sumber ekonomi syarikat tidak seperi model-model lain keluaran mereka.

Renault DeZir merupakan sebuah konsep supercar elektrik dengan bukaan pintu butterfly. Motor elektriknya berupaya menghasilkan 148 hp dengan kemampuan untuk mencapai kelajuan maksima 180 km/j (boleh tahap kerana ini peringkat awal pembangunan motor elektrik).

BACA: 10 BUAH KERETA YANG MEMULAKAN HAYAT MEREKA SEBAGAI JENTERA LUMBA

GR Super Sport Concept

Toyota satu ketika dahulu merupakan antara raja pengeluar yang mengeluarkan kereta-kereta ikonik seperti 2000GT, Supra, Celica dan MR2. Tapi kini selepas 20 tahun, rekaan mereka sudah ke laut dan cuma menghasilkan kereta-kereta yang mudah dijual. Adakah Supra baru akan mengubahnya? Tengoklah nanti.

Toyota GR Sport Concept membuktikan yang masih ada pereka Toyota yang belum tidur. ia merupakan produk sub-jenama mereka, Toyota GR. Model konsep ini mungkin bertujuan dihasilkan untuk merebut kategori produksi dan mengulan kejayaan Le Mans. Ia menggunakan sistem hibrid 986 hp gabungan enjin V6 2.3-liter dan motor elektrik. Jika ia dihasilkan ia akan membuktikan yang Toyota mampu menjadi raja sekali lagi.

Chrysler Firepower

Namanya mungkin agak asing bagi peminat kereta sebelah Asia tetapi mereka pernah menghasilkan konsep hebat yang dinamakan Chrysler Firepower. Ia sebenarnya diasaskan daripada model Dodge Viper tetapi direka semula oleh Chrysler dengan enjin Hemi V8 6.1-liter dikekalkan.

Malangnya Chrysler tidak mempunyai jalan untuk mengeluarkannya dan ia kekal sebagai sebuah model konsep.

GT by Citroen

Citroen merupakan satu lagi nama besar dari Perancis tetapi entah kenapa kereta-kereta mereka kelihatan agak pelik. Unik tapi tak ramai nak beli sedangkan mereka adalah juara WRC berturut-turut. Tapi Citroen berjaya membuktikan yang mereka bukannya pereka kereta-kereta membosankan dengan model konsep GT by Citroen yang dihasilkan dengan kerjasama Polyphonic Digital – pereka francais permainan Gran Turismo.

Model konsep ini dikatakan dikuasakan oleh enjin dengan sel bahan api hidrogen 5.4-liter  Ford V8. Ramai yang mengatakan kereta ini cuma wujud dalam permainan video dan itu pun mungkin ada benarnya. Mungkin juga ia sebuah konsep yang ditunjukkan oleh Citroen untuk membuktikan keupayaan mereka.

Nissan Idx

Ini satu lagi model konsep menarik yang tidak akan sampai ke peringkat pengeluaran tapi Nissan IDx sepatutnya diberi penghargaan yang lebih baik. Apatah GTR dan 370Z sudah dilihat semakin berusia, jenama Nissan dilihat sebagai semakin penat. Model-model Nismo sendiri pun dilihat sekadar usaha terdesak untuk menaikkan kembali imej Nissan seperti sebelumnya.

Kenapa IDx dianggap berbeza? Ini kerana ia satu konsep yang unik. Ia seperti model 510 dengan pacuan roda belakang, retro tetapi moden dan dilihat seperti mampu menggugat Toyota GT86. Malah dikatakan juga ia terdapat dala versi Nismo dengan 1.6-liter yang telah ditala sehingga mampu menghasilkan sekitar 200 hp kuasa. Ia mungkin nampak biasa pada setengah orang tetapi bagi peminat Nissan/Datsun ini adalah seperti mimpi yang menjadi kenyataan.

Kredit Carbuzz.com

Tags
Google ads
Back to top button