Artikel Pilihan

INI CIRI YANG BIASA PADA KERETA BUATAN CHINA

Tahun 2023 menyaksikan buat pertama kali gabungan jualan eksport kenderaan dari China berjaya memintas jualan dari negara Jepun. Keadaan ini membuktikan bahawa kenderaan yang berasal daripada China berjaya diterima oleh pasaran global berbanding 10 tahun yang lalu terutama dari segi teknologi kereta elektrik

Tapi jika anda biasa memandu kereta berjenama dari negara China, anda akan perasan yang kereta ini ada beberapa ciri ciri persamaan antara satu sama lain dan biasa tidak ditawarkan oleh jenama pesaing dari negara lain. Antaranya ialah:

1. Suspensi ditala untuk keselesaan – jika anda pernah ke negara China, anda akan perasan yang jaringan lebuhraya di sana banyak dengan jalan lurus dan diturap dengan baik. Keadaan ini menyebabkan pengeluar kereta China memberi fokus talaan suspensi yang mementingkan keselesaan.

Anda akan perasan yang kereta buatan China sangat bagus dalam menyerap gegaran dan sebarang kecacatan permukaan jalan raya dengan cemerlang. Namun dari segi aspek negatif, suspensi yang ditala terlalu lembut tidak menawarkan dinamik pengendalian yang bagus dan olengan cesi akan dapat dirasi dengan ketara

2. Bumbung suria adalah wajib – ya salah satu ciri yang biasa ditawarkan oleh hampir semua pengeluar kereta China ialah cermin suria dan juga cermin panaromic yang terbentang luas dari depan ke belakang. Jika anda memandu di negara 4 musim, ciri ini amat bagus dan sesuai dengan keadaan yang nyaman

Tetapi jika anda memandu di negara khatulistiwa, hmmm memang garing la pemandu dan penumpang di dalam kabin apatah lagi dengan keadaan cuaca yang panas membahang buat masa sekarang. Anda mungkin terpaksa membelanjakan sedikit wang untuk mendapatkan lapisan filem penebat haba yang bagus untuk kereta anda

3. Ciri penapis udara terbina dalam lengkap dengan ion – 20 tahun lepas kebanyakan bandaraya utama China dilanda jerebu yang teruk akibat kebanjiran kereta buatan luar yang suka memberikan enjin yang melepaskan asap tidak mengikut piawaian terkini. Keadaan ini memaksa negara China membangunkan kereta elektrik mereka sendiri

Bagi membersihkan udara di dalam kabin, kebanyakan kereta yang dihasilkan di China datang dengan sistem pembersih udara dan ionizer bagi memberikan udara segar dalam kabin dan menapis udara dari atmosfera yang tercemar. Ciri ini adalah satu pendekatan yang bagus berbanding dengan pengeluar daripada negara lain

4. Skrin multimedia yang terang – bukan setakat terang, malah sistem multimedia ini menggabungkan beberapa ciri menjadikan rekaan dalam nampak moden dan bersih. Malah kenderaan dari China juga menggunakan sistem kamera beresolusi tinggi menawarkan suapan video yang terbaik berbanding dengan pesaing dari negara lain

5. Trenkuasa elektrik moden – bukan setakat moden tetapi kebanyakan trenkuasa elektrik yang ditawarkan oleh pengeluar dari China adalah maju dengan harga yang mampu milik. Perkara ini tidak menghairankan kerana pengeluar dan kerajaan China telah membelanjakan dana yang besar dalam pembangunan teknologi elektrik

Apa yang lebih menarik, pengeluar seperti BYD telah menjadi pembekal komponen bateri kepada beberapa syarikat ternama disebabkan kemampuan mereka menghasilkan bateri berteknologi tinggi pada harga yang lebih murah dan tahan lasak

Google ads
Back to top button