CFMOTO 1250MT DALAM PEMBANGUNAN?
Bagi yang mempersoal kualiti dan jenama CFMOTO, sekali lagi kami ingatkan bahawa pengeluar motosikal China itu merupakan rakan kongsi KTM di China dan bertanggungjawab menghasilkan KTM 790 Duke dan 790 Adventure.
Hasil daripada kerjasama itu, CFMOTO juga dibenarkan untuk berkongsi platform sekaligus terhasilnya CFMOTO 800MT, 800NK dan 1250TR-G dengan masing-masing dikuasakan enjin LC8c 799cc dan LC8 1,279cc.
Kini timbul pula laporan bahawa CFMOTO sedang membangunkan motosikal ‘adventure-tourer’ dengan kapasiti lebih besar yang dinamakan sebagai 1250MT.
Nombor 1250 itu secara tak langsung memberi bayangan bahawa model ADV itu akan dikuasakan enjin LC8 V-Twin 1,279cc yang sama terdapat pada 1250TR-G.
Menariknya, turut tular imej ‘render’ yang membayangkan rupa model berkenaan.
Dakwaan itu sebenarnya berasas dan realistik.
Pertamanya, reka bentuk yang dikongsikan itu tampak konsisten dengan barisan model sedia ada CFMOTO. Keduanya, tiada halangan untuk CFMOTO membangunkan model demikian kerana telah pun menawarkan motosikal ADV menerusi 800MT ketika ini.
Ketiga, CFMOTO mengguna pakai enjin LC8 V-Twin 1,279cc pada 1250TR-G maka bukan sukar untuk mengaplikasikan platform tersebut pada 1250MT.
Keempat, platform tersebut (yang telah ditala semula) menawarkan 143hp dan 120Nm sekaligus cukup sesuai bagi sebuah motosikal ADV berkuasa tinggi. Pada masa sama, kami anggarkan 1250MT itu jauh lebih ringan berbanding 1250TR-G yang beratnya lebih 300kg.
Dalam pada itu, seperti 800MT, kami juga menjangkakan CFMOTO akan memperkenal beberapa varian termasuk versi jalan raya (dengan rim aloi 17-inci) dan off-road (dengan rim lidi 21-inci).
Pada masa sama, dijangkakan 1250MT itu akan dilengkapi pakej elektronik serba lengkap seperti pesaing lain dalam segmennya.
Walaupun perkembangan ini masih di peringkat khabar angin dengan tiada pengesahan dari pihak CFMOTO namun kami tidak terkejut jika model ADV ini akan diwujudkan pada masa akan datang. Apa pun, kami akan ikuti dengan rapat perkembangan ini.