Artikel PilihanBuletin

INI SEJARAH HONDA TYPE R DAN FIREBLADE – 25 TAHUN DAH!

Salah satu sebab kewujudan Honda ialah perlumbaan. Mendiang Soichiro Honda memang kaki lumba. Bukan sahaja beliau malah tokoh automotif lain sezamannya baik dari Eropah dan Jepun pun sama.

Persaingan ibarat ketagihan buat mereka. Cuma sekarang ini zaman yang segala-galanya duit, silap hari bulan syarikat boleh bungkus sebab terlalu fokus kepada sukan ini. Jadi tidak hairanlah kenapa pengeluar menghasilkan kereta yang membosankan atau sebagai alat pengangkutan sahaja.

Sebagai contoh, daripada hasilkan kereta dengan pengendalian tajam menikam lebih baik keluarkan kereta yang kedap bunyi. Katanya bukan semua pelanggan mahukan kereta dengan pemanduan dan pengendalian terbaik.

Honda pun turut terjebak dalam penghasilan kereta atau motosikal massa sebegitu tetapi mujurlah mereka dan pengeluar Jepun lain tidak lupa sejarah penubuhan awal dahulu. 

Nissan ada Skyline atau GT-R, Mazda ada siri RX, Subaru ada Impreza, Toyota? Mmm.. GT86 dan Honda terkenal dengan siri Type R.

Seperti yang dinyatakan dalam beberapa artikel sebelum ini, 2017 adalah tahun istimewa buat Honda apabila ia meraikan ulangtahun ke 25 kelahiran Type R dan Fireblade.

Kedua-dua ikon ini diperkenalkan pada 1992 dan sejak itu telah menjadi legenda tersendiri mahupun di kalangan peminatnya atau dunia automotif.

Sempena ulangtahun tersebut Honda UK telah melakukan pelbagai acara sambutan termasuk sesi jemputan tetamu khas bersama Type R dan Fireblade di Litar Rockingham.

Berikut ialah sejarah Honda Type R:

Honda pertama yang menggunakan nama Type R ialah NSX-R. Ciri-ciri wajib pada sebuah Type R ialah enjin yang berkuasa dengan putaran RPM tinggi, talaan suspensi lebih jitu dan logo Honda berwarna merah di depan.

Pada awalnya, nama R-type hanya digunakan sebagai rujukan dalaman sahaja sebelum digunakan secara rasmi sebagai Type R.

Type R pertama yang mendarat ke UK ialah model Integra DC2 pada tahun 1998 dan kemudian diikuti oleh Accord Euro R. Pada tahun 2001 model EP3 dipasarkan yang menawarkan sensasi hot hatch kepada pasaran umum. 

Jualan EP3 begitu besar iaitu sebanyak 21,000 unit dari tahun 2001 sehingga 2007 dan ia adalah model Type R paling berjaya pernah dikeluarkan. FN2 kemudian menyusuli dan meneruskan momentum populariti Type R.

Kemelesetan ekonomi melanda dunia pada tahun 2011 dan model gantian Type R ditangguhkan. Selepas tiga tahun barulah FK2 dilancarkan itu pun pada tahun-tahun akhir Civic Euro di pasaran.

Jualan FK2R tidak sampai 2,500 unit dan ia turut dibawa masuk oleh pengimport bebas ke negara kita. Honda menjangkakan FK2R ini akan menjadi koleksi yang jarang didapati pada masa depan (rare).

Kini buat pertama kali sebuah Type R global dipasarkan di serata dunia. Ia dibangunkan dan dipasarkan beberapa bulan selepas Civic Generasi kesepuluh berada di pasaran massa. FK8R buat masa sekarang ialah kereta produksi pacuan dua roda terpantas di Nurburgring.

Fakta ringkas Honda Type R

  • Pada rpm maksimum, omboh Integra Type R bergerak lebih pantas berbanding enjin Formula Satu masa kini juga dengan rpm maksimum
  • Generasi kedua Honda NSX-R mempunyai meter kelajuan melebihi 300 batu sejam
  • FD2R adalah generasi Type R pertama yang dijual di Malaysia dan model JDM Type R pertama yang dipasarkan di dunia selepas Jepun. Model ini dilancarkan pada Ogos 2007 pada harga sekitar RM 198,000. 
  • Honda Civic Type R FK8 adalah model Type R pertama dijual secara rasmi di AS
  • Warna Championship White dan Logo Honda berwarna merah sebenarnya adalah tribut kepada kereta Honda Formula Satu yang memenangi perlumbaan tersebut

Sejarah Honda Fireblade

Pada tahun 1992, sebuah motosikal legenda telah diperkenalkan kepada dunia. Motosikal Fireblade sebenarnya diinspirasi oleh penunggang uji Honda iaitu Tadao Baba.

Tadao Baba memberi penekanan terhadap nisbah kuasa kepada berat atau apa yang dipanggilnya sebagai konsep Kawalan Penuh (Total Control). Prinsip tersebut masih terpakai pada setiap generasi Fireblade.

Setiap generasi Fireblade mengekalkan prinsip asal model pertama yang menawarkan pakej seimbang di antara tunggangan di trek dan juga di jalanan. Fireblade terkini membawa konsep Kawalan Penuh ke tahap lebih tinggi iaitu nisbah kuasa kepada berat yang 65 peratus lebih baik daripada generasi pertama.

Fakta ringkas Honda Fireblade:

  • Tadao Baba bersara pada tahun 2004. Sebagai penghormatan, huruf B besar pada Fireblade ditukar kepada huruf kecil untuk model-model seterusnya. Huruf B besar hanya tampil sekali selepas itu pada model khas yang menggunakan tema grafik Urban Tiger pada tahun 2014.
  • Fireblade SP 2017 adalah motosikal produksi massa pertama yang menggunakan tangki minyak titanium. Berat motosikal kurang 1kg berbanding tangki standard.
  • Hanya 500 unit terhad motosikal homologasi Fireblade SP2 2017 akan dikeluarkan,
  • Honda mempunyai rekod kemenangan perlumbaan Isle of Man TT paling banyak bagi kategori pengeluar) dengan lebih 250 kejayaan. Kali terakhir ialah pada tahun 2015 melalui penunggang John McGuinness.
  • Harga Honda Fireblade 2017 sengaja dihabiskan dengan 25 sebagai tanda ulangtahun ke-25.

Lagi artikel menarik tentang Type R: 

HONDA CIVIC MUGEN RR INI UNTUK DIJUAL, MILEAGE HANYA 53K DAN IA “CUMA” RM185K 

HONDA CIVIC TYPE-R KINI DI INDONESIA – MALAYSIA MACAM TAK LAMA DAH…

Google ads
Back to top button