Artikel PilihanBuletin

INI TIPS SUPAYA AIRCOND KERETA SENTIASA SEJUK DAN TAHAN LAMA

Sewaktu suhu panas melampau seperti di alami Malaysia baru-baru ini dan anda merasakan kasut anda bagaikan cair sewaktu berjalan di atas permukaan jalan semestinya anda berharap agar salji turun serta merta.

Kalau boleh biar turun sekali dengan angin sejuk dari Banjaran Alp dari Eropah. OK, itu mustahil, tetapi bersyukurlah kerana kereta-kereta moden kini telah dilengkapi dengan penyaman udara yang boleh anda nikmati sepanjang perjalanan ataupun di dalam kesesakan trafik. Tapi tahukah anda tatacara penggunaan penyaman udara yang efektif. Ni kami nak bagi ceramah sikit.

Menghidupkan penyaman udara sebaik memasuki kenderaan sudah menjadi perkara biasa hari ini. Ia bagaikan tindakan reflek seperti anda menutup mata sewaktu bersin. Kebanyakan antara kita tidak tahu cara penyaman udara berfungsi dan hasilnya penggunaan penyaman udara yang tidak tepat. Janji sejuk, settle.

BACA: 7 MITOS PENJIMATAN BAHAN API YANG SALAH

Ini mungkin sebab para pengeluar kereta telah mereka sistem kawalan penyaman udara yang sungguh mudah. Kita cuma perlu tekan butang ‘On’ dan laraskan suhu yang dikehendaki, selebihnya akan diuruskan oleh sistem itu sendiri. Tetapi sebenarnya ada langkah-langkah lain yang boleh diikuti agar sistem penyaman udara kereta anda lebih efisien.

Kami akan kongsikan beberapa langkah di sini tetapi sebelum itu mari kita lihat bagaimana sistem penyaman udara berfungsi.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Sistem penyaman udara kereta anda sebenarnya berfungsi sebagai satu litar yang tertutup. Ia mempunyai bahagian yang bertekanan tinggi dan juga rendah.

Dalam bahagian bertekanan tinggi, coolant ataupun ejen penyejuk (dalam bentuk gas) disedut masuk ke bahagian kompressor yang dipacu oleh enjin. Itulah bunyi yang anda dengar di bahagian enjin bila kompresor mula berfungsi.

Kompressor pula akan memaksa gas tersebut masuk ke condenser. Ia sebenarnya berfungsi seperti radiator yang akan menyejukkan coolant termampat tadi sehingga menjadi cecair pada tekanan tinggi.

BACA: APA AKAN JADI KALAU MASUKKAN GEAR UNDUR PADA KELAJUAN 113KM/J?

Seterusnya ialah bahagian bertekanan rendah, cecair penyejuk bertekanan tinggi tadi akan ditolak masuk menerusi expansion valve dan terus ke bahagian evaporator (juga dipanggil cooling coil) di dalam kabin kenderaan.

Di sini keajaiban berlaku, di mana cecair penyejuk ini yang mempunyai takat didih yang rendah akan bertukar menjadi gas bila memasuki evaporator. Tindak balas ini dipanggil vaporization. Tak faham, semak buku sains anda semasa sekolah dulu. Rujuk kepada tindakbalas endotermik, vaporization ialah proses endotermik yang bermaksud ia menyerap haba.

Dengan kata lain, evaporator ataupun cooling coil yang ada di sebalik papan pemuka kereta anda berfungsi menyejukkan udara di sekelilingnya. Kipas elektrik menyedut udara dari luar dan menolaknya ke sekeliling evaporator dan menghembusnya ke muka kacak Abang Japar menerusi corong-corong udara pada papan pemuka.

Ia merupakan satu proses yang berterusan tanpa henti. Sekarang anda sudah faham cara ia berfungsi, jadi kini kami kongsikan cara penggunaan penyaman udara yang tepat.

Daihatsu-Sirion-Sport-jan2016-01

LANGKAH ASAS

Cara paling berkesan agar penyaman udara cepat sejuk ialah memastikan kereta anda berada di bawah tempat teduh ataupun berbumbung. Kami tahu bukan senang untuk mencari tempat teduh terutamanya di tempat parkir terbuka tetapi jika ada ia satu bonus untuk anda dan kereta anda.

Satu kelebihan jika anda tahu di mana bayang bangunan akan berada pada waktu tertentu jika anda meletakkan kereta anda dicelah-celah bangunan sewaktu pergi ke tempat kerja. Biasanya jika satu-satu petak itu disinari cahaya matahari pada waktu pagi, menjelang tengah hari atau petang ia akan dibayangi bayang bangunan (pastikan ada bangunan la bukan guard house saiz kotak mancis).

BACA: 6 CARA PALING MUDAH UNTUK MENJAHANAMKAN KERETA

Walaupun hawa di dalam kereta anda tetap panas tetapi teduhan bayang-bayang akan mengurangkannya. Takdelah rasa macam memandu oven sewaktu balik dari pejabat.

Satu cara lagi ialah dengan menggunakan kepingan pelindung matahari yang boleh didapati di kedai-kedai aksesori kereta. Alah, berapa sangatlah harganya. Ini juga akan mengurangkan kesan rumah hijau kepada bahagian dalam kereta anda.

LANGKAH KLASIK

Ini satu cara klasik yang biasa digunakan oleh orang dulu-dulu termasuklah bapa saya sendiri. Jika langkah di atas tidak dapat dilakukan dan keadaan dalaman kereta anda sama panas dengan Gurun Sahara, adalah lebih baik jika anda salurkan udara luar masuk dengan membuka tingkap kereta anda sebelum menghidupkan penyaman udara.

Langkah terbaik ialah dengan membuka semua tingkap dan pandu kereta anda seketika. Pemanduan yang baik ialah sekitar 10-15km/j dan mengambil selekoh 90 darjah jika ada. Inertia sewaktu membelok akan menolak udara panas keluar ke sisi dan menyedut udara segar masuk dari sisi yang satu lagi.

Teknik ini juga sesuai digunakan jika anda terlepas membuang angin akibat memakan telur rebus sewaktu dalam perjalanan mengambil pasangan anda dari tempat kerja ataupun nak pergi dating.

MULAKAN DENGAN TETAPAN ‘LOW’ 

Anda mesti tidak gembira jika seseorang mengejutkan anda di tengah malam buta bukan? Silap-silap dapat tendangan sisi Haliborange Tae-Kwan-Do free. Begitu juga dengan penyaman udara, mulakan dengan hembusan yang perlahan sambil meningkatkan putaran kipas dan kurangkan suhu.

Jangan main terjah saja. Bahkan jika penyaman udara anda mempunyai mod ‘Auto’, perhatikan yang biasanya ia akan bermula dengan tetapan perlahan dan kemudian semakin kuat.

air cond

SENTIASA GUNAKAN MODE “RECIRCULATION”

Bila penyaman udara sudah sejuk, sentiasa pastikan ia berada dalam mod recirculation untuk mengelakkan udara panas dari luar masuk ke dalam. Ini akan menyebabkan penyaman udara anda bekerja dengan lebih relaks.

JANGAN BUAT BEGINI…

Bila berhenti nak keluar dari kereta, jangan terus mematikan enjin anda tanpa mematikan suis penyaman udara terlebih dahulu, ini akan membuatkan sistem penyaman udara mengalami kejutan.

Langkah sebaiknya ialah matikan suis penyaman udara sebelum anda sampai ke destinasi. Pada masa ini biasanya kabin dalaman sudahpun cukup sejuk, memadai dengan hembusan udara daripada kipas elektrik dalaman sahaja.

Bila anda sudah mematikan suis penyaman udara, pastikan kelajuan blower ataupun kipas berada pada tetapi ‘Med’ ataupun ‘High’.

Kenapa? Pernahkah anda perhatikan takungan air di bawah kereta anda bila anda berhenti? Itu ialah air daripada evaporator kereta anda. Ianya dalam keadaan hampir mencecah takat beku bila udara panas bergerak menghampirinya, jadi proses kondensasi berlaku lalu menghasilkan titisan air tersebut.

Menghidupkan kipas sewaktu penyaman udara dimatikan akan mengeringkan bahagian evaporator. Ia juga berfungsi memastikan kulapuk dan juga kulat tidak akan terhasil di dalam ruang evaporator anda. Inilah punca bau hapak yang selalu anda hidup di dalam kabin kereta anda.

SERVIS BERKALA  

Sama seperti kereta, sistem penyaman udara juga perlu diservis. Cecair penyejuk perlu ditukar, kompresor juga perlukan minyak khusus untuk kelancaran operasi. Komponen-komponen seperti expansion valve dan penapis juga perlu ditukar untuk memastikan penyaman udara anda beroperasi secara optima.

AKHIR KATA

Anda seharusnya tahu yang sistem penyaman udara akan menjejaskan penggunaan bahan api anda. Kompresor perlukan sumber tenaga dan dengan kata lain ia berfungsi dengan bantuan enjin.

Satu lagi ialah jangan terlampau dalam menggunakan penyaman udara. Jika suhu di luar terlalu panas, jangan ghairah untuk menyejukkan kereta anda seperti di dalam igloo. Tubuh manusia mempunyai hadnya, dan jika anda keluar ke bawah cahaya matahari dari kabin kereta yang sejuk, mau jatuh demam tau!

Suhu yang ideal untuk keselesaan kita sebenarnya memadai sekitar 24-25 darjah Celsius.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button