,
Buletin

ISI RON95 PADA KENDERAAN ASING, PEMILIK STESEN MINYAK DIARAH BERI PENJELASAN

Sejak beberapa hari lalu, tular satu klip video yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga Singapura mengisi minyak RON95 ke dalam kereta Audi miliknya di sebuah stesen minyak di Johor Bahru. 

Video berdurasi 45 saat yang dimuat naik di Twitter My Watch itu telah ditonton sebanyak 56,300 kali dan 1,900 retweet.

Perakam video juga bertindak menegur lelaki berkenaan kerana mengisi RON95 oleh orang asing menjadi satu kesalahan.Sebaik sahaja ditegur, dia terus meletakkan semula pam dan beredar.  

Tindakan berani itu kemudian menerima pujian daripada warganet. Tulis @XavierNaxa, insiden itu merupakan salah sau contoh ketirisan dalam pemberian subsidi yang jelas merugikan negara. “Akibatnya rakyat menjadi mangsa. Mekanisme pengisian petrol perlu dikaji agar tidak tertiris.

“Mohon @KPDNKK pandang serius. Jangan kerana kes terpencil anda jadikan alasan untuk sekat subsidi,” katanya.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengarahkan pemilik stesen minyak berkenaan tampil memberi keterangan. Dalam satu kenyataan media, KPDNHEP memaklumkan bahawa satu siasatan telah dibuka dan pihaknya turut membuat pemeriksaan di stesen minyak berkenaan pada 3 Januari lalu.

“Hasil  siasatan mendapati lelaki yang mengisi minyak petrol RON95 pada kenderaan asing itu dipercayai menggunakan sistem kad kredit layan diri di pam untuk mengisi minyak. Siasatan sedang dibuat terhadap stesen minyak berkenaan atas kesalahan gagal mematuhi arahan pengawal bekalan. Pemilik stesen juga telah diarahkan untuk hadir di KPDNHEP Johor bagi merekod rakaman percakapan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hukuman untuk syarikat pula ialah denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.

sumber: Sinar Harian

Tags
Google ads
Back to top button