Motosikal

GALERI: TOKYO MOTORCYCLE SHOW 2024 REKOD KEDATANGAN 113,905 PENGUNJUNG

Kami baru sahaja pulang dari Tokyo, Jepun bagi menghadiri Tokyo Motorcycle Show 2024 yang berlangsung di Tokyo Big Sight pada 22 hingga 24 Mac. 

Tokyo Motorcycle Show merupakan siri kedua dari tiga siri pameran motosikal di Jepun selepas Osaka Motorcycle Show dan sebelum Nagoya Motorcycle Show. 

Dikenali sebagai ‘nirin-matsuri’, Tokyo Motorcycle Show dianggap seperti Tokyo Auto Salon bagi dunia dua roda. Tokyo Motorcycle Show edisi ke-51 itu berlangsung di West Hall 1, West Hall 2, West Hall 3, West Hall 4, Atrium dan West Roof Exhibition Hall. 

Walaupun tiga hari acara tersebut terpalit dengan cuaca kurang baik (hujan dan sejuk), namun acara yang menempatkan lebih 619 unit motosikal pelbagai model dan 1,901 reruai itu berjaya menarik 113,905 pengunjung dari pelbagai pelusuk.

Edisi ke-51 itu juga mencuri tumpuan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan dari anggota polis wanita yang menunggang motosikal jenis Honda CB1300 SF, program keselamatan jalan raya, demonstrasi motosikal ‘trial’ dari MFJ Trial dan banyak lagi. 

Bagaimanapun, tumpuan utama terarah kepada pengeluar motosikal dari Jepun yang masing-masing mempamerkan model serba baharu yang bukan sahaja dipasarkan di Jepun malah di pasaran global (termasuk Malaysia) tidak lama lagi. 

Kedatangan kami ke Tokyo Motorcycle Show edisi ke-51 itu juga tidak mengecewakan apabila kami dapat melihat beberapa model baharu termasuk Honda CBR650R dan CB650R yang kini ditawarkan dengan transmisi Honda E-Clutch baharu. 

Kami juga berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat dua model baharu dari Suzuki, GSX-8R dan GSX-S1000GX yang akan turut dipasarkan di Malaysia. 

Reruai Yamaha pula mempamerkan Yamaha XSR 900 GP serba baharu dan bingkas menjadi tumpuan utama dalam Hall 2 yang seluas 8,800 meter persegi. 

Sementara itu, reruai Kawasaki pula mempamerkan dua model baharu, Z-EV dan Z-HEV yang masing-masing merupakan motosikal elektrik dan hibrid. Sayangnya, Team Green tidak mempamerkan Ninja HEV. 

Selain pengeluar Jepun, Triumph Motorcycles Japan juga mengambil peluang pada hari pertama untuk melancarkan Daytona 660 serba baharu. Program itu juga memberi ruang pada kami untuk menyaksikan dengan lebih dekat tawaran terbaru dari jenama UK tersebut. 

Untuk rekod, Daytona 660 akan turut dipasarkan di Malaysia dan dijangka dijual pada harga RM49,500. 

Kem Harley-Davidson juga dibanjiri pengunjung yang rata-rata mahu melibat dengan lebih dekat model berkapasiti kecil dan pertengahan, X350 dan X500 yang merupakan hasil kerjasama dengan pengeluar China, QJ Motor.

Selain motosikal, pelbagai jenama aksesori lain turut memeriahkan Tokyo Motorcycle Show 2024 antaranya RS Taichi, Komine, Alpinestars, Cardo, SHOEI dan Arai. 

Arai dan SHOEI kekal mencuri tumpuan dengan masing-masing menonjolkan model terbaru seperti SHOEI Neotec 3 sementara Arai pula kekal popular dengan model RX-7X. 

GALERI: TOKYO MOTORCYCLE SHOW 2024

Google ads
Back to top button