Buletin

ISUZU ELF MIO EV, JAWAPAN UNTUK KEKURANGAN PEMANDU DI JEPUN, BOLEH GUNA LESEN BIASA!

Isuzu Motors Co., Ltd. memperkenalkan lori elektrik Elf mio EV dengan berat kasar di bawah 3.5 tan untuk pasaran Jepun.

Satu yang menarik untuk diberi perhatian ialah industri pengangkutan di Jepun sedang mengalami cabaran seperti kekurangan pemandu selain perlu bergerak ke arah masyarakat neutral karbon.

Bagi mendepani cabaran tersebut Isuzu memperkenalkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pengeluaran besar-besaran yang pertama dari syarikat iaitu Elf EV.

Kekurangan pemandu pula ditangani dengan membangunkan lori BEV kecil yang mempunyai berat kasar tidak melebihi 3.5 tan dan boleh dipandu menggunakan lesen biasa selepas semakan undang-undang pada 2017.

Elf mio EV dibekalkan bateri litium-ion dengan kapasiti 40 kilowatt-jam (kWj). Motor elektrik menghasilkan 90kW dan tork 370Nm. Jarak pemanduan sehingga 115 kilometer (WLTC).

Lori ini menggunakan slot CHAdeMO dan boleh dicas dengan pengecas biasa atau pantas.

Dari segi ukuran, Elf mio memiliki panjang 4,690 milimeter (mm), lebar 1,695 mm, tinggi 1,965 mm dan boleh membawa tiga penumpang.

Kapasiti muatan ialah 1,050 kilogram (kilogram) dan berat keseluruhan 3,490 kg.

Walaupun nampak seperti kenderaan biasa, EV berbeza daripada segi bentangan rangkaian kuasa kerana motor elektrik dan bateri perlu diatur sebaiknya.

Untuk badan belakang, Isuzu Modular Architecture and Component Standard (I-MACS) menjadi asas pembangunan produk agar sistem operasi dan bentangan hampir menyamai kenderaan diesel.

Teknologi itu membolehkan pelbagai jenis badan dipasang seperti model diesel dan memudahkan pelanggan untuk menggunakan lori elektrik.

Isuzu turut memberi perhatian kepada keselesaan dan ruang kabin dengan mengecilkan saiz stereng dan menambah baik bahan kerusi.

Elf mio EV juga dilengkapi teknologi keselamatan berikut:

  • Kawalan suai pandu di antara kenderaan kelajuan penuh
  • Sistem peringatan pemandu hilang tumpuan
  • Pengawasan pemandu
  • Brek pra-pelanggaran (laluan lurus atau membelok kanan atau kiri)
  • Amaran persimpangan
  • Brek parkir elektrik dengan fungsi pengaktifan automatik

Satu lagi ciri canggih pada Elf mio EV ialah sistem PREISM yang menggunakan teknologi terhubung. Di antaranya fungsi pengawasan kenderaan dari jauh seperti kadar bateri.

Sistem itu juga membolehkan Isuzu menggunakan fungsi kawalan jauh sekiranya kenderaan mengalami kerosakan.

Google ads
"
"
Back to top button