
ISUZU D-MAX LOW-RIDE 4X2 MT DIPERKENALKAN – HARGA BERMULA RM92K
Isuzu Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan model baharu, Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT. Trak pikap ini direka khas untuk perniagaan bandar yang memerlukan kenderaan praktikal, kos efektif, dan mudah diuruskan.
Isuzu D-Max Low-Ride disasarkan kepada pemilik perniagaan yang memerlukan kenderaan dengan ruang kargo luas, mudah muatan, dan kos operasi rendah.
Kenderaan ini sangat sesuai untuk menghantar barangan besar atau kecil, menjadikannya aset berharga untuk operasi harian.
D-Max Low-Ride berkongsi spesifikasi asas dengan model Single Cab 1.9 liter, namun dilengkapi beberapa penambahbaikan.

Ia menggunakan enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang cekap bahan api, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan. Gabungan ini bukan sahaja menjimatkan kos bahan api tetapi juga mengurangkan kos penyelenggaraan.
Unit penjana kuasa trak ini telah membuktikan keupayaannya melalui perjalanan sejauh 2,000 km hanya dengan satu tangki diesel, suatu pencapaian yang cukup mengagumkan dan mencatatkan rekod.
Salah satu kelebihan utama model ini ialah ketinggian ruang kargo yang hanya 78cm dari permukaan tanah, memudahkan pengguna untuk memuatkan dan memunggah barangan.
Selain itu, ruang kabin luas mampu memuatkan lima penumpang dengan selesa, menjadikannya ideal untuk mengangkut pekerja atau peralatan ke lokasi lain.

Walaupun menawarkan harga mampu milik, Isuzu tidak berkompromi dengan aspek keselesaan. Model ini dilengkapi kerusi balutan fabrik, sistem hiburan DIN tunggal dengan ciri Bluetooth, stereng boleh laras atas-bawah dan teleskopik, serta cermin sisi larasan elektronik.
Keselamatan penumpang dan kargo menjadi keutamaan dalam D-Max Low-Ride. Model ini hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk:
- Anti-lock Braking System (ABS)
- Electronic Brake-force Distribution (EBD)
- Brake Assist (BA)
- Electronic Stability Control (ESC)
- Traction Control System (TCS)
- Hill Start Assist (HSA)
- Hill Descent Control (HDC)
Ia juga dilengkapi dengan dua beg udara, sistem Brake Override System (BOS), isyarat pemberhentian kecemasan, lampu Follow-Me Home, dan sensor undur.
Dengan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, trak ini memberikan keyakinan kepada pelanggan.
Isuzu D-Max Low-Ride ditawarkan pada harga RM92,199.20 atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia. Harga di Sabah ialah RM94,279.60, manakala di Sarawak ialah RM94,170.30.
Model ini hadir dalam warna Splash White dan boleh ditempah sekarang di semua pengedar sah Isuzu. Penghantaran dijangka bermula pada Februari 2025, dengan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km.