Buletin

ISUZU MALAYSIA PERCEPAT PROSES SERAHAN KENDERAAN KEPADA PELANGGAN

Isuzu Malaysia akan mempercepatkan serahan, terutama bagi mereka yang telah membuat tempahan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.

Sebanyak 300 tempahan melibatkan pelbagai model Isuzu telah diterima sebelum PKP dilaksanakan. Syarikat akan memastikan pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin selepas operasi perniagaan disambung semula.

“Walaupun pelanggan memahami punca kelewatan ini, kami mahu memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max mereka secepat mungkin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan-kenderaan terbabit menjadi lebih cepat. Bermula dari kilang di Pekan, Pahang sebelum dihantar kepada pengedar di seluruh negara.

Proses serahan juga diperbaharui dan disesuaikan bagi memastikan pelanggan dan staf dilindungi. Ia selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan wabak COVID-19.

Antara SOP utama termasuklah merekodkan suhu badan semua staf sebelum memulakan tugas setiap pagi, penggunaan wajib topeng muka dan sanitasi setiap permukaan sentuhan di premis sebanyak tiga kali sehari.

Semua pengunjung cawangan Isuzu diambil bacaan suhu badan mereka menggunakan termometer infra-red. Cecair sanitasi tangan serta topeng muka akan disediakan di semua premis terlibat.

Pelanggan yang datang untuk mengambil kenderaan baru akan dimaklumkan tarikh serahan oleh penasihat jualan dan diberikan masa khusus untuk mengelakkan keadaan sesak di premis.

Pemilik kenderaan Isuzu yang tempoh jaminan kenderaan mereka tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari bermula 13 Mei 2020. Kenderaan yang sudah terlepas jadual servis pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.

Pelanggan yang berhasrat membawa kenderaan mereka untuk diservis dinasihatkan membuat temu janji terlebih dahulu memandangkan semua cawangan beroperasi di bawah peraturan PKPB yang ketat.

Mengekalkan jarak sosial yang selamat dan sistematik menjadi keutamaan. Jadi, jumlah kenderaan yang diterima untuk servis setiap hari juga adalah berpandukan kepada kapasiti di setiap premis terlibat dengan jarak sosial minimum satu meter.

Untuk mengatur sesi melihat atau pandu uji kenderaan Isuzu, pelanggan yang berminat boleh membuat temujanji melalui laman Facebook Isuzu Malaysia di https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.

Tags
Google ads
Back to top button