Buletin

VOLVO S60 T8 CKD. PILOT ASSIST, HARGA SAMA RM295,888 SEUNIT

Volvo Car Malaysia (VCM) kini menawarkan model sedan S60 T8 dalam bentuk  pemasangan tempatan (CKD) ke pasaran Malaysia. Sama seperti varian kenderaan import sepenuhnya (CBU) sebelum ini, Volvo S60 T8 CKD hanya didatangkan dalam satu varian iaitu T8 R-Design.

Seperti varian CBU, Volvo S60 T8 CKD dikuasakan oleh enjin T8 Twin Engine e-AWD plug-in hibrid. Ia mampu menjana kuasa mencecah 407 hp dan tork 640Nm.  Motor elektrik menyalurkan 87hp dan tork 240Nm.

Manakala enjin petrol Drive-E yang dilengkapi teknologi supercharged dan pengecas turbo dapat menghasilkan 320 hp dan tork 400 Nm.  Hasilnya, ia boleh mencatat kelajuan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat.

12216

Ruang kabin Volvo S60 T8 CKD adalah takrifan kecantikan Scandinavia. Pemilik boleh menikmati perjalanan selesa dengan tempat duduk berkontur yang dibalut Charcoal Fine Nappa Leather dan Open Grid Textile.  

Sistem bunyi dengan 14 unit pembesar suara Harman Kardon yang disambungkan bersama sistem infotainment Sensus Connect menambah kemewahan ini.

Sistem infotainment Sensus Connect Volvo Cars serasi sepenuhnya dengan Apple CarPlay dan Android Auto yang membolehkan pemandu kekal berhubung sepanjang masa.

Paparan antara muka skrin sentuh seperti sebuah tablet itu menggabungkan fungsi kereta, navigasi dan aplikasi hiburan dalam kereta.

Volvo S60 T8 CKD disokong oleh platform Scalable Product Architecture (SPA), teknologi keselamatan dan sistem infohibur Volvo Cars sendiri. Ia turut digunakan pada model 90 Series, XC60 dan kini S60 T8 CKD.

Dari segi, Volvo S60 T8 CKD dilengkapi ciri City Safety dengan teknologi Autobrake. Membantu pemandu mengelak pelanggaran, ia menjadi satu-satunya sistem di pasaran yang mampu mengenal pasti pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar.

City Safety juga merangkumi sistem brek automatik untuk mengurangkan perlanggaran dari arah hadapan.

Sistem Pilot Assist yang menyokong pemandu dengan stereng, pecutan dan brek di atas jalan yang bertanda jelas sehingga 130km/j telah dinaik taraf dengan prestasi membelok yang lebih baik.

Volvo S60 T8 CKD juga dipasang Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation dan lain-lain sistem bantuan stereng. Cross Traffic Alert meningkatkan keselamatan apabila berfungsi mengesan lintasan trafik di belakang kereta ketika mengundur.

Sedan mewah ini ditawarkan pada harga RM295,888 (di atas jalan, tanpa insuran). Ia sudah berada di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara bermula hari ini.

Pelanggan juga boleh menempah Volvo S60 T8 CKD secara dalam talian di laman web Volvo Car Malaysia.  

Terdapat empat warna menarik untuk dipilih iaitu putih mutiara, merah, hitam dan kelabu metalik.

GALERI

Google ads
Back to top button