Buletin

HYUNDAI IONIQ 5 N DAN IONIQ 6 N MASUK PASARAN MALAYSIA SUKU KEDUA TAHUN INI

Hyundai Motor Malaysia (HMY) baru-baru ini membuat pengumuman mengejut sempena majlis makan malam media Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Dalam perancangan mereka untuk pasaran tempatan tahun ini, jenama dari Korea Selatan itu mengesahkan bahawa divisyen prestasi tinggi Hyundai N bakal diperkenalkan secara rasmi di Malaysia.

Langkah tersebut akan dimulakan dengan ketibaan dua model elektrik berprestasi tinggi yang menjadi tumpuan global, iaitu Hyundai Ioniq 5 N serta sedan sporty Hyundai Ioniq 6 N.

Kedua-duanya dijangka memasuki pasaran tempatan sekitar suku kedua (Q2) tahun ini, sekali gus menandakan permulaan era baharu untuk segmen EV prestasi di negara ini.

Ioniq 5 N dibangunkan berdasarkan crossover elektrik Ioniq 5 standard, namun diberikan peningkatan besar dari segi kuasa serta penampilan yang jauh lebih agresif.

Model ini tampil dengan badan lebih lebar sekitar 50mm dan kedudukan lebih rendah 20mm, selain penggunaan tayar lebih besar serta diffuser belakang yang direka untuk meningkatkan kestabilan dan aerodinamik ketika dipandu laju.

Bahagian pemasangan motor elektrik dan bateri juga diperkasakan, manakala subframe hadapan dan belakang ditambah baik bagi menghasilkan ketegaran sisi yang lebih tinggi.

Dari sudut rangkaian kuasa, Ioniq 5 N masih menggunakan platform E-GMP namun dipadankan dengan dua motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang.

Ini menjadikannya model produksi jalan raya pertama Hyundai N yang hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Motor di hadapan menghasilkan kuasa 226PS, manakala motor belakang menjana 385PS. Gabungan keseluruhan memberikan output 609PS, namun kuasa boleh meningkat sehingga 650PS dengan tork maksimum 770Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan.

Prestasi ini membolehkan Ioniq 5 N memecut dari 0-100km/j dalam hanya 3.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 260km/j, jauh lebih tinggi berbanding Ioniq 5 standard yang dihadkan kepada 185km/j.

Hyundai N turut melengkapkan model ini dengan ciri N Drift Optimizer yang membolehkan pemandu melakukan aksi drift lebih terkawal dan berpanjangan. Menariknya, sistem Torque Kick Drift turut disertakan bagi meniru teknik “clutch kick” seperti kereta enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang manual.

Antara teknologi unik lain ialah N Active Sound+ dan N e-Shift. Sistem ini menghasilkan bunyi seperti enjin sebenar serta simulasi pertukaran gear ala transmisi DCT.

Untuk tujuan tersebut, Ioniq 5 N dilengkapi 10 pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua di luar) dengan tiga pilihan tema bunyi iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic.

Tema Ignition misalnya meniru bunyi enjin petrol turbo 2.0 liter Hyundai N terdahulu lengkap dengan efek pop dan bang.

Sementara itu, Hyundai Ioniq 6 N pula merupakan model elektrik kedua di bawah lencana Hyundai N.

Diasaskan daripada sedan elektrik Ioniq 6 standard, versi N ini dijangka membawa pakej prestasi dan teknologi sama seperti yang diperkenalkan pada Ioniq 5 N.

Dengan pengesahan kemasukan Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N ke Malaysia, pasaran tempatan bakal menyaksikan persaingan baharu dalam dunia EV berprestasi tinggi.

GALERI:

Google ads
Back to top button