Buletin

ZEEKR 8X BAKAL GEGARKAN PASARAN: SUV MEWAH BERGAYA ROLLS-ROYCE, KUASA 1,381HP!

Zeekr nampaknya tidak mahu memperlahankan rentak pengeluaran model baharunya. Selepas kejayaan SUV elektrik 7X dan 9X sebagai model mercu tanda dengan kuasa luar biasa, jenama milik Geely itu kini bersedia memperkenalkan satu lagi pemain baharu – Zeekr 8X.

Seperti namanya, 8X akan ditempatkan di antara 7X dan 9X, menawarkan pakej yang lebih seimbang dari segi saiz, prestasi dan kemewahan.

Menariknya, imej rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China baru-baru ini memberikan gambaran jelas tentang reka bentuk SUV ini.

Dalam versi standard, Zeekr 8X jelas mengambil inspirasi daripada abangnya yang lebih besar, termasuk penggunaan gril krom besar yang mengingatkan kepada gaya Rolls-Royce.

Lampu hadapan pula tampil dengan bentuk seakan “ lobster-claw” yang unik, dipadankan dengan bampar bawah kelihatan agresif dan moden.

Bagi varian sporty, sentuhannya lebih garang. Ia hadir dengan gril hitam eksklusif, rim hitam, angkup brek berwarna oren serta spoiler bumbung yang menambah aura prestasi.

Bahagian belakang turut menerima diffuser lebih menonjol serta bampar dengan reflektor merah bersaiz besar. Kedua-dua versi bagaimanapun berkongsi rekaan lampu belakang LED melintang penuh dengan bar cahaya yang futuristik.

Dari segi trenkuasa, Zeekr 8X dijangka tidak sepenuhnya elektrik, sebaliknya mengikut jejak 9X dengan menggunakan sistem plug-in hybrid.

Enjin 2.0 liter turbo empat silinder akan digabungkan dengan pek bateri sama ada 55.1kWh atau 70kWh, serta tiga motor elektrik.

Laporan media China menyebut versi tertinggi boleh mencecah sehingga 1,381hp, angka yang setanding dengan model 9X dan meletakkannya dalam liga “hypercar SUV”.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada varian sporty akan menerima peningkatan kuasa, atau sekadar pakej kosmetik luaran sahaja – namun pilihan kedua dilihat lebih munasabah.

Untuk bahagian kabin, Zeekr sememangnya dikenali dengan kemasan premium, material berkualiti tinggi dan binaan dalaman yang rapi.

Jadi, 8X dijangka mengekalkan standard tersebut walaupun mungkin tidak semewah 9X. Pengguna boleh menjangkakan pelbagai skrin digital serta pilihan konfigurasi lima atau enam tempat duduk.

Secara keseluruhan, Zeekr 8X bakal menjadi SUV mewah yang bukan sahaja bergaya seperti Rolls-Royce, tetapi juga memiliki kuasa setanding jentera prestasi tinggi dan menariknya, masih menggunakan petrol sebagai sebahagian daripada formula.

Google ads
Back to top button