Buletin

JAC T9 BEV DAN T9 DIESEL RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM119K

JAC Motors secara rasmi melancarkan dua varian trak pikap terbarunya di Malaysia, iaitu JAC T9 BEV dan JAC T9 Diesel.

Kedua-dua model ini menawarkan pilihan berbeza kepada pengguna, sama ada mengutamakan kecekapan bahan api dan kuasa diesel atau memilih alternatif mesra alam dengan pacuan elektrik.

Prestasi dan Trenkuasa

JAC T9 Diesel dikuasakan oleh enjin diesel 2.0 CTI berprestasi tinggi yang mampu menghasilkan 168hp dan 410Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan ZF, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mementingkan ketahanan dan prestasi.

Bagi JAC T9 Grand-BEV dijana oleh dua motor elektrik, menghasilkan 309hp keseluruhan dan 516Nm yang disalurkan ke keempat-empat roda.

Menerusi pek bateri LFP berkapasiti 88kWh, ia berupaya menawarkan jarak gerak sehingga 340km.

Trak pikap ini mampu menampung pengecasan pantas DC hingga 88kW, membolehkan bateri untuk
mencapai tahap 15%-80% dalam masa 45 minit. Pengecas AC pula boleh mengecas dari
15%-100% dalam masa sekitar 8 jam 30 minit.

Reka Bentuk dan Dimensi

Secara luaran, JAC T9 Diesel dan T9 BEV kelihatan hampir serupa dengan dimensi yang sama, iaitu panjang 5,330mm, lebar 1,965mm, tinggi 1,920mm dan jarak roda 3,110mm.

Bahagian kargo juga dikekalkan sama dengan ukuran 1,520mm panjang, 1,590mm lebar, dan 470mm dalam.

Namun, terdapat sedikit perbezaan dalam kelengkapan. T9 Diesel lebih menumpukan kepada aspek utiliti dengan kehadiran sensor parkir hadapan dan rel bumbung, yang tidak terdapat pada model BEV.

Kabin dan Teknologi

Masuk ke dalam kabin, kedua-dua model ini menampilkan gabungan keselesaan dan teknologi moden.

Kedua-duanya dilengkapi dengan kluster instrumen digital 7-inci serta skrin sentuh 10.4-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

T9 BEV menampilkan reka bentuk kabin yang lebih futuristik dengan menggantikan tuil gear konvensional kepada pemilih rotari.

Selain itu, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna membolehkan pengguna menyesuaikan suasana dalaman mengikut citarasa mereka.

Ciri Keselamatan

Dari segi keselamatan, JAC T9 BEV dan Diesel dilengkapi dengan sistem brek kecemasan autonomi (AEB) yang membolehkan kenderaan berhenti secara automatik jika terdapat potensi perlanggaran.

Selain itu, kedua-dua model ini hadir dengan tujuh beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan yang merupakan inovasi keselamatan terkini.

Antara ciri keselamatan lain yang disertakan ialah sistem pemantauan tekanan tayar, sensor parkir belakang, dan kamera pandangan sekeliling 360 darjah.

Harga dan Waranti

Dari segi harga, JAC T9 BEV ditawarkan pada harga dari RM199,888.

Ini menjadikannya pilihan menarik bagi mereka yang ingin beralih kepada kenderaan elektrik tanpa membebankan bajet.

Sementara itu, T9 Diesel juga ditawarkan pada harga yang kompetitif, iaitu bermula RM119,888.

Bagi perlindungan waranti, T9 Diesel hadir dengan jaminan selama lima tahun, manakala T9 BEV menawarkan waranti enam tahun atau 200,000 km.

GALERI:

Google ads
Back to top button