Buletin

JENAMA EV BEYONCA DIDAKWA ‘TERKUBUR’, RATUSAN PEKERJA TERBIAR TANPA GAJI

Sebuah jenama kenderaan elektrik (EV) mewah dari China, BeyonCa, dilaporkan telah menghentikan operasinya secara mengejut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ratusan pekerja yang didakwa masih belum menerima bayaran gaji.

BeyonCa diasaskan pada tahun 2021 oleh bekas naib presiden Volkswagen Group, Soh Weiming, bersama bekas ahli lembaga Volkswagen AG, Christian Klinger.

Pada peringkat awal, jenama ini dilihat berpotensi besar berikutan barisan pengurusan dan tenaga kerja yang terdiri daripada individu berpengalaman luas dalam industri automotif global.

Antara tokoh utama yang terlibat termasuk Hans-Joachim Rothenpieler yang mengetuai penyelidikan dan pembangunan (R&D), Dirk van Braeckel sebagai ketua pereka, serta Lucas Colombo yang memimpin pasukan reka bentuk di Beijing.

Sejak pelancaran rasminya pada Oktober 2022, BeyonCa pernah menyasarkan jualan sehingga 100,000 unit dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Malah, syarikat itu turut mengorak langkah ke pasaran antarabangsa dengan menjalin kerjasama pelaburan di Timur Tengah serta hubungan strategik dengan kerajaan tempatan di wilayah Zhejiang.

Pada Jun 2024, BeyonCa mengumumkan rancangan membuka kemudahan pengeluaran di Hong Kong, sebagai sebahagian usaha memasuki pusat pembuatan maju di Tseung Kwan O. Namun selepas itu, perkembangan syarikat menjadi sunyi tanpa sebarang kemas kini ketara.

Model pertama mereka, sebuah coupe elektrik GT Opus 1, dijadualkan memasuki pengeluaran sekitar 2024.

Kenderaan itu dikatakan memiliki panjang lebih lima meter serta bateri berkapasiti besar, dengan harga anggaran bermula sekitar 1 juta yuan (kira-kira RM660,000). Namun sehingga kini, tiada satu pun model berjaya dikeluarkan secara komersial.

Situasi menjadi lebih serius apabila laporan media China pada 27 Mac lalu mendakwa pekerja lama dan baharu syarikat telah mengeluarkan surat bersama, menyatakan operasi BeyonCa telah terhenti sepenuhnya.

Lebih membimbangkan, ramai pekerja didakwa belum menerima gaji, caruman keselamatan sosial dan dana perumahan.

Menurut pekerja terbabit, pihak pengurusan juga sukar dihubungi sejak sekian lama, tanpa sebarang penjelasan rasmi atau pelan penyelesaian.

Mereka kini menuntut bayaran penuh semua tunggakan, pampasan sewajarnya serta penjelasan terbuka daripada syarikat dan pemegang saham.

Difahamkan, BeyonCa sebelum ini menerima sokongan pelaburan daripada Renault, Dongfeng Motor Corporation serta kumpulan dari Arab Saudi.

Namun persoalan besar masih timbul, bagaimana sebuah syarikat dengan sokongan kukuh dan barisan pakar industri boleh ‘lenyap’ tanpa menghasilkan walau sebuah kereta pun.

Kes ini sekali lagi mencerminkan cabaran sengit dalam industri EV global, khususnya bagi pemain baharu yang berdepan tekanan kos tinggi, persaingan sengit dan keperluan teknologi serba kompleks.

Google ads
Back to top button