
KLIMS 2026 KEMBALI, BERLANGSUNG 12-21 JUN INI
Pameran mobiliti terbesar negara, Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 bakal kembali membuka tirai dengan edisi ke-11 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun depan.
Mengangkat tema ‘Beyond Mobility’, KLIMS 2026 dijangka menjadi platform utama yang menghimpunkan pengeluar automotif, pemain industri, pembuat dasar serta pengguna untuk meneroka perkembangan terkini dalam teknologi mobiliti pintar, elektrifikasi dan pengangkutan lestari.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, industri automotif tempatan terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah 820,752 unit pada tahun lalu.
Menurutnya, pertumbuhan itu dipacu oleh perubahan pesat teknologi automotif serta sokongan kerajaan terhadap pembangunan ekosistem mobiliti masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

“KLIMS 2026 akan menjadi edisi paling signifikan setakat ini dengan fokus terhadap inovasi, kelestarian dan perkembangan teknologi masa depan,” katanya.
Acara selama 10 hari itu bakal memenuhi lapan dewan pameran di MITEC dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pelancaran model baharu, konsep kenderaan futuristik dan pengalaman pemanduan khas.
Buat julung kali, KLIMS memperkenalkan Urban Play iaitu laluan cabaran khas yang menguji kuasa, ketepatan dan kawalan kenderaan.
Selain itu, acara kali ini turut menampilkan kolaborasi bersama Riuh menerusi persembahan hiburan dan aktiviti gaya hidup pada hujung minggu terakhir pameran.
Antara artis tempatan yang dijangka membuat persembahan ialah FUGŌ, Kyoto Protocol, Adrian Danial dan TY.
Persembahan khas lain termasuk drumline oleh Voice of Percussion serta tarian fusion oleh Siluman Production.
Pengunjung juga boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti simulator perlumbaan dan penerbangan, pertandingan kereta modifikasi, trek kereta kawalan jauh serta sesi pandu uji lebih 60 kenderaan. Lebih 200 kereta daripada kelab automotif seluruh negara dijangka mengambil bahagian.
KLIMS 2026 akan menghimpunkan pelbagai jenama automotif antarabangsa dan tempatan termasuk Honda, Toyota, Proton, Perodua, Mazda, Hyundai, Kia, MG Motor, XPENG dan Zeekr.
Dari segi harga tiket, kemasukan adalah percuma bagi semua pengunjung pada hari Isnin hingga Khamis.
Bagi Jumaat, hujung minggu dan cuti umum, tiket dewasa dijual pada harga RM30, manakala warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar hanya RM15. Kanak-kanak bawah 12 tahun pula menikmati kemasukan percuma sepanjang acara berlangsung.
Pengunjung turut boleh mendapatkan pas tanpa had sepanjang minggu pameran pada harga RM80, selain pakej berkumpulan lima orang serendah RM100.
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata, KLIMS kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar pameran automotif tradisional apabila berjaya menyatukan komuniti, industri dan pengguna dalam satu platform besar.
KLIMS 2026 dianjurkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA) dengan kerjasama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) serta Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman rasmi KLIMS 2026.



