Buletin

DANIEL CRAIG WAJAH KEMPEN GLOBAL BAHARU DENZA

Jenama kenderaan premium di bawah BYD, DENZA, terus memperhebat kemaraannya di pentas global termasuk Malaysia menerusi pelancaran kempen jenama terbaharu yang menampilkan pelakon terkenal Britain, Daniel Craig.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan agresif DENZA sepanjang 2026, selari dengan usaha memperkukuh kedudukannya dalam segmen mobiliti premium berasaskan tenaga baharu.

Kempen berkenaan turut mencerminkan hala tuju jenama itu yang menggabungkan teknologi kenderaan elektrik terkini, mutu binaan bertaraf tinggi serta rekaan elegan untuk menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa.

Di Malaysia, perkembangan ini memberi isyarat jelas bahawa DENZA bersedia memperluas pengaruhnya, lebih-lebih lagi dengan ketibaan model utama, DENZA Z9GT, yang kini dalam perancangan untuk diperkenalkan dalam masa terdekat.

Model berkenaan dijangka menjadi antara tarikan utama jenama itu, dengan penekanan terhadap inovasi moden, sistem keselamatan canggih serta gaya rekaan yang berani dan mewah.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata kempen global tersebut menandakan satu fasa baharu bagi perkembangan jenama itu, termasuk di pasaran tempatan.

Menurutnya, kehadiran Z9GT bakal membawa gabungan teknologi terkini dan kehalusan pembuatan yang memenuhi jangkaan pengguna premium di Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li, menjelaskan pemilihan Daniel Craig sebagai wajah kempen adalah selari dengan identiti jenama.

Katanya, karakter pelakon tersebut yang sinonim dengan keteguhan dan keanggunan mencerminkan nilai yang ingin diketengahkan oleh DENZA, khususnya dalam usaha memperluas pasaran ke Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.

Dengan pendekatan itu, DENZA dilihat semakin bersedia untuk menarik minat generasi pelanggan baharu yang mengutamakan inovasi teknologi serta reka bentuk premium dalam era mobiliti mampan.

Google ads
Back to top button