
NORTON MANX R V4 BAKAL MASUK MALAYSIA?
Norton Motorcycles kembali ke pasaran motosikal antarabangsa selepas mengumumkan ketibaan empat model baharu ketika di EICMA 2025.
Empat model tersebut melibatkan motosikal jenis sportsbike, naked, sport tourer dan adventure tourer dengan masing-masing dikuasakan platform V4 1200cc serba baharu yang dibangunkan TVS Motor Company di Hosur, India.

Untuk rekod, TVS Motor Company merupakan pemilik baharu Norton Motorcycles selepas mengambil alih syarikat itu dari Stuart Garner pada April 2020.
Dalam pada itu kami difahamkan Norton Motorcycles akan turut dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi menerusi pengedar baharu yang akan diumumkan kelak.

Menariknya, beberapa media tempatan dan individu penting dalam industri dua roda tanah air telah terbang ke Sepanyol baru-baru ini bagi merasai kemampuan model sportsbike Norton Manx R.
Ini bermakna terdapat kebarangkalian tinggi bahawa jentera superbike bernadikan enjin V4 itu akan dipasarkan disini.

Atas kertas, Norton Manx R dikuasakan enjin 1200cc V4 72-darjah dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 206hp pada 11,500rpm dan 130Nm pada 9,000rpm. Ini merupakan enjin paling berkuasa pernah dihasilkan di India.
Persoalannya, siapakah pengedar tempatan yang akan membawa jenama Norton Motorcycles ke Malaysia?









