
JENAMA HUMMER LEBIH BERJAYA DI BAWAH AM GENERAL
Pelakon filem aksi dan bekas gabenor California, Arnold Schwarzenegger ialah selebriti yang bertanggungjawab mempopularkan Hummer H1.
Biarpun begitu, populariti tersebut tidak dapat menyelamatkan jentera yang biasa digunakan oleh pasukan tentera itu daripada dihentikan produksinya oleh General Motors (GM) tujuh tahun lalu.
Pada tahun 2009, GM mengambil keputusan untuk memberhentikan jenama Hummer, Pontiac, Saturn dan Saab berikutan penstrukturan semula syarikat, akibat masalah kewangan yang dialaminya.
Jenama Hummer kemudian diambil oleh AM General yang kini dilihat semakin berjaya memasarkan Hummer. Di bawah AM General, nama Hummer telah ditukar menjadi High Mobility Multipurpose Wheeled Vehicles (HMMWV).
Walaupun nama sudah ditukar, HMMWV ialah kenderaa sama (Hummer H1) yang mula diperkenalkan ke pasaran pada tahun 1992.
Syarikat yang berpangkalan di Indiana, South Bend, Amerika Syarikat (AS) itu dilaporkan baru sahaja menandatangani satu kontrak bernilai setengah bilion dolar.
Kontrak bernilai AS$550 juta (RM2.3 bilion) akan menyaksikan hampir 3,000 unit HMMWV dijual kepada rakan sekutu AS di seluruh dunia. Ini termasuklah Afghanistan, Iraq, Ukraine, Jordan, Slovenia, Bahrain, Colombia, Bosnia dan Kenya.
Pesanan melibatkan hampir satu perempat daripada terma kontrak maksimum selama lima tahun bernilai AS$2.2 bilion (RM9.3 bilion) yang diterima oleh AM General daripada Pentagon. Ia merupakan sebahagian daripada rangka kerja jualan ketenteraan asing tentera AS.
Jumlah tersebut melibatkan 11,560 unit HMMWV yang dijual pada harga sekitar AS$190,000 (RM804,200) seunit. Mungkin tidak kedengaran begitu banyak, tetapi angka itu sebenarnya lebih dua kali ganda berbanding Hummer H1 yang dijual kepada orang awam oleh GM sepanjang ia memegang jenama Hummer.
Selain HMMWV, AM General turut menghasilkan platform trak multi-kegunaan untuk tentera, kenderaan yang mudah diakses oleh kerusi roda UVentures MV-1) dan Mercedes-Benz R-Class, khas untuk pasaran China.