Artikel Pilihan

IBLIS PETAK KUNING DAN KONCO-KONCONYA

Sekali baca tajuk dah serupa artikel Mastika pula. Jujurnya, Brader Karrager adalah penentang tegar terhadap Iblis Petak Kuning. Laman sosial rasmi Brader Karrager sering kali memuat naik status menyatakan tentang kesesalan terhadap berleluasanya Iblis Petak Kuning ini. Artikel ini barangkali berguna buat pembaca semua sewaktu berhadapan dengan iblis tersebut berserta konco-konconya.

BACA : TAHUKAH ANDA? JALANRAYA MEMANG TEMPAT BERLUMBA…

BACA : 5 PERATURAN JALANRAYA YANG ANEH TAPI BERKESAN KURANGKAN KEMALANGAN

IBLIS PETAK KUNING
Ini adalah Iblis yang paling ramai pengikut terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Nak melihatkannya silalah tunggu waktu petang di kala para pemuda serta pemudi pulang dari pejabat. Adalah dipercayai ianya berpusat di persimpangan Jalan Tun Razak berhampiran bangunan Tabung Haji. Pengalaman Brader pernah tersangkut di hadapan lampu merah sampai dah bertukar enam tujuh kali pun Iblis Petak Kuning ini serupa itu juga dia punya degil. Kalau panggil Darul Syifa pun belum tentu boleh handle Iblis Petak Kuning ni.

IBLIS PARKIR MENYENGET
Ini juga antara Iblis yang agak universal sifatnya. Banyak terdapat di ruang parkir pusat membeli-belah dan juga parkir perumahan awam. Padahal telah disediakan kotak parkir khas. Sepatutnya jelmaan Iblis ini tidak wujud sama sekali. Tapi entah mengapa, Iblis ini suka nau parkir kereta secara menyenget sampai menyukarkan kereta di sebelah untuk keluar/masuk. Kalau dah kena calar pun belum tentu Iblis ini akan berubah dan bertaubat.

IBLIS PARKIR TEPI JALAN
Iblis ini pun amat mudah untuk dijumpai terutamanya pada waktu petang menjelang senja. Iblis ini khabarnya sedang menunggu orang rumah pulang dari pejabat, dan cara mudah adalah menunggu di tepi jalan-jalan utama tanpa menghiraukan kesesakan yang berlaku akibat daripadanya. Lampu kecemasan yang dinyalakan sering dijadikan sebagai lesen untuk berubah menjadi Iblis Parkir Tepi Jalan. Kalau kena sodok dengan backhoe pun sedap juga, iya tak?

IBLIS PASAR MALAM
Iblis ini biasanya kelihatan menjelang waktu Maghrib membawa hingga ke pukul 8. Iblis ini cukup gemar meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan tanpa memperdulikan langsung kepayahan kereta lain untuk melepasinya. Lagi hampir dengan tapak pasar malam, lagi banyak Iblis Pasar Malam ini kelihatan. Geran juga sebetulnya.

IBLIS PLAZA TOL
Iblis ini sifatnya adalah gemar memotong barisan sesuka hati tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Lebih parah lagi, iblis ini gemar menukar lorong / memotong barisan di saat akhir. Bila kena hon, boleh pula iblis ini menunjukkan jari tengah ke kita. Eh! Eh! Siapa yang bersalah ni sebenarnya, iya tak?

IBLIS LORONG KECEMASAN
Iblis jenis ini memang biasa dilihat terutamanya sewaktu menggunakan lebuhraya di musim cuti panjang. Dia punya cemas tu lain macam sikit. Nak lekas sampai ke destinasi tapi guna lorong kecemasan, padahal tak adalah cemas mana pun. Tapi reti pula takut ke anggota penguatkuasa kalau nampak kereta peronda. Sepatutnya maintain sahajalah guna lorong kecemasan tu. Kata tengah cemas kan?

Sebetulnya banyak lagi golongan iblis di atas jalanraya ini. Panjang nak sangat nak hurai. Tapi paling tak boleh blah adalah Iblis Lubang Jalanraya. Korek sana sini, lepas tu kambus semula ikut suka. Sudahnya, berlopak sedikit demi sedikit kemudiannya berubah menjadi kolam renang bersaiz olimpik. Perangai iblis sangat, kan?

Google ads

B K

Back to top button