GM DAN HONDA BANGUNKAN EV MAMPU MILIK! (JARANG HONDA BEKERJASAMA DENGAN SYKT LAIN)
Kerjasama di antara dua pengeluar di dalam industri automotif adalah perkara biasa. Kongsi teknologi, enjin, platform, komponen termasuk kilang pengeluaran.
Di dalam era elektrifikasi sekarang, kerjasama di antara pengeluar lebih galak memandangkan ianya teknologi baharu, perlukan kos tinggi dan pengguna masih belajar untuk menerimanya.
Terbaru, General Motors dan Honda mengumumkan kerjasama bagi membangunkan siri kenderaan elektrik (EV) mampu milik menggunakan senibina global dan teknologi bateri Ultium baharu.
Hubungan ini bukan baharu sebaliknya adalah peningkatan kerjasama di antara dua syarikat yang sudah pun menjalankan beberapa projek bersama.
Lagi fakta ialah kedua-dua syarikat mahu membangunkan siri EV yang bermakna akan ada beberapa lagi model baharu.
Seperkara menarik, Honda adalah sebuah syarikat yang jarang bekerjasama dengan syarikat lain dan ini menunjukkan ada satu persefahaman yang baik untuk terus bekerja dengan GM.
Berikut adalah intipati dan maklumat kerjasama GM dan Honda:
- Kedua-dua syarikat sedang bekerjasama bagi membolehkan pengeluaran jutaan EV untuk pasaran global bermula tahun 2027.
- Di antara model yang dikeluarkan ialah crossover kompak dengan memanfaatkan teknologi, reka bentuk dan pemerolehan stratergi kedua-dua syarikat.
- Segmen crossover kompak paling besar di dunia dengan jualan lebih 13 juta unit setahun.
- GM dan Honda akan menyeragamkan peralatan dan proses bagi mencapai kualiti kelas dunia, daya pengeluaran lebih tinggi dan lebih mampu milik.
- GM dan Honda akan berbincang tentang peluang kerjasama dalam teknologi bateri EV masa depan bagi mengurangkan kos elektrifikasi, mempertingkatkan prestasi dan memacu kemampanan untuk kenderaan masa depan.
- GM sedang berusaha untuk mempercepatkan teknologi baharu seperti litium-logam, silikon dan bateri keadaan pepejal (solid-state battery) selain kaedah pengeluaran yang boleh digunakan dengan cepat bagi mempertingkat dan mengemas kini proses pembuatan sel bateri.
- Honda juga fokus pada bateri keadaan pepejal, syarikat percaya ianya adalah satu aspek utama untuk EV masa depan.
- Honda telah mewujudkan barisan pengeluaran demonstrasi di Jepun untuk bateri keadaan pepejal dan berhasrat untuk mengeluarkannya secara besar-besaran.
- Merancang untuk menawarkan EV pada harga lebih rendah daripada Chevrolet Equinox EV yang dikatakan dijual pada harga permulaan USD30,000 (RM126,600).
GM dan Honda sudah pun menjalinkan kerjasama sebelum ini di antaranya dalam bidang teknologi kenderaan elektrik dan autonomi.
Pada tahun 2013, kedua-dua syarikat memulakan kerjasama dalam pembangunan sistem sel bahan bakar (fuel cell) generasi baharu dan teknologi simpanan hidrogen.
Pada tahun 2018, Honda menyertai usaha pembangunan modul bateri EV GM.
Dua tahun berikutnya, GM dan Honda mengumumkan rancangan untuk sama-sama membangunkan dua buah EV di antaranya Honda Prologue yang bakal dilancarkan pada awal tahun 2024.
Selepas itu SUV EV pertama Acura pula bakal menyusul.
GM dan Honda juga turut bekerjasama dalam model Cruise dan sedang membangunkan Cruise Origin iaitu sebuah kenderaan autonomi yang direka untuk khidmat panggil (ride-hail) dan penghantaran.
BACA: APA YANG BERBEZA ANTARA KERETA SEGMEN A, B, C & D?
BACA: GM DAN HONDA JV BUAT EV HONDA, BUKAN 1 TAPI 2!
BACA: MODEL KLASIK HONDA DAX KEMBALI, PGM-F1, BREK CAKERA DAN ADA ABS!