Buletin

MERCEDES-BENZ CLA 250+ 2026 DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 792KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM295K

Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi memperkenalkan pratonton eksklusif model elektrik terbaharunya, Mercedes-Benz CLA generasi baharu, yang akan dipamerkan kepada orang ramai dari 15 hingga 18 Januari 2026 di Stars@Mercedes-Benz Bangsar.

Model ini menandakan permulaan kepada barisan produk generasi baharu Mercedes-Benz, dengan penambahbaikan menyeluruh dari segi ruang kabin, tahap keselesaan, kehalusan pemanduan, teknologi pintar serta kecekapan tenaga berbanding model terdahulu.

Ia juga menjadi gambaran jelas hala tuju jenama itu dalam memperkukuh mobiliti elektrik, kecerdasan digital dan rekaan moden untuk era seterusnya.

Dari segi penampilan, CLA elektrik mengekalkan siluet sporty dengan jarak roda panjang, overhang pendek serta bahagian belakang gaya GT.

Bonet panjang dengan power dome, bumbung rendah dan rim besar menyerlahkan karakter atletik, manakala bahagian bahu yang lebar mengalir dari arca gerbang roda hadapan hingga ke belakang.

Rekaan sisi pula menampilkan garis karakter yang jelas, menghasilkan permainan cahaya dan bayang yang menarik. Gril berbentuk A ikonik turut diberi interpretasi baharu untuk model elektrik, dengan panel bintang bercahaya penuh. Sebanyak 142 bintang LED berkemasan krom dipasang dan dianimasikan bagi mewujudkan identiti visual tersendiri.

Model ini turut dilengkapi bumbung kaca panoramik bersaiz penuh tanpa palang tengah, memberikan pandangan hampir tanpa halangan ke atas serta menjadikan ruang kabin terasa lebih luas dan terang.

Buat pertama kali pada model moden Mercedes-Benz, CLA elektrik hadir dengan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 101 liter. Ruang but belakang pula menawarkan kapasiti 405 liter, sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.

CLA elektrik ini merupakan model pertama Mercedes-Benz yang menggunakan sepenuhnya sistem operasi dalaman terbaharu, Mercedes-Benz Operating System (MB.OS).

Dengan platform ini, setiap kenderaan dilengkapi komputer berprestasi tinggi yang sentiasa berhubung dengan Mercedes-Benz Intelligent Cloud.

Hasilnya, pelbagai fungsi penting termasuk sistem bantuan pemanduan boleh dikemas kini secara over-the-air buat pertama kali, membolehkan perisian kenderaan sentiasa relevan dan terkini untuk tempoh penggunaan jangka panjang.

Sistem MBUX generasi baharu turut menerima naik taraf besar menerusi penggunaan kecerdasan buatan generatif.

Pembantu maya ini mampu berinteraksi secara lebih semula jadi, menyokong perbualan berperingkat seperti berbual dengan manusia, serta mempunyai memori jangka pendek.

Ia dibangunkan berasaskan teknologi ChatGPT-4o dan carian Microsoft Bing, digabungkan dengan Google Gemini untuk maklumat navigasi dan lokasi daripada platform Google Maps.

Paparan pembantu maya ini sentiasa kelihatan pada antara muka utama sebagai avatar berbentuk bintang Mercedes-Benz, malah mampu mengenal pasti emosi pengguna dan memberi respons yang bersesuaian.

Mercedes-Benz menyifatkan CLA elektrik sebagai “kereta satu liter” untuk era elektrik, merujuk kepada tahap penggunaan tenaga yang sangat rendah.

Model ini mencatat penggunaan serendah 12.2kWh bagi setiap 100km, dengan jarak pemanduan maksimum sehingga 792km mengikut piawaian WLTP.

Ia menggunakan sistem elektrik 800 volt bersama generasi bateri baharu yang membolehkan pengecasan ultra pantas – sehingga 325km jarak pemanduan boleh diperoleh dalam hanya 10 minit pengecasan.

Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology kini dibuka untuk pra-tempahan menerusi laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia.

Harga anggaran bermula dari RM295,888 termasuk cukai jualan 10% untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans.

GALERI:

Google ads
Back to top button