Buletin

JUALAN MAZDA MIATA KEKAL KUKUH WALAUPUN SUDAH SEDEKAD DI PASARAN

Kebiasaannya, sesebuah model kereta akan mula kehilangan tarikan apabila menghampiri penghujung kitaran hayatnya.

Namun situasi itu tidak berlaku kepada Mazda Miata, atau lebih dikenali sebagai MX-5. Walaupun generasi keempat (ND) sudah berada di pasaran sejak 2015, model roadster ikonik ini masih mendapat sambutan memberangsangkan, khususnya di Amerika Syarikat.

Menurut data jualan terkini, prestasi Miata pada tahun 2025 boleh dianggap sangat positif dan hampir setara dengan pencapaian tahun-tahun sebelumnya.

Malah, permintaan meningkat sebanyak 7.7 peratus berbanding 2024, dengan 8,727 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan.

Ketiadaan pesaing langsung dalam segmen roadster kompak dilihat menjadi kelebihan utama Miata. Walaupun ada pembeli yang turut mempertimbangkan Subaru BRZ dan Toyota GR86, kedua-dua model itu berada dalam kategori coupe dan bukannya bumbung terbuka.

Untuk perbandingan, BRZ hanya mencatatkan 2,882 unit jualan pada 2025, manakala GR86 merekodkan 9,940 unit, tertinggi antara tiga model tersebut.

Jika diteliti sejarah jualan, tahun 2017 kekal sebagai tempoh terbaik buat Miata di Amerika Syarikat dengan 11,294 unit terjual.

Walaupun angka 2025 tidak mengatasi rekod itu, pencapaian semasa masih dianggap kukuh bagi sebuah model yang sudah berusia hampir 10 tahun. Ini membuktikan kedudukan unik Miata dalam pasaran kereta sports yang semakin mengecil.

Walau bagaimanapun, peningkatan jualan MX-5 tidak cukup untuk menampung penurunan jualan keseluruhan Mazda di AS, yang susut sebanyak 3.3 peratus kepada 410,346 unit pada tahun lalu.

Masa depan Miata

Mazda setakat ini belum mengumumkan bila generasi baharu Miata akan diperkenalkan. Pelancaran versi kemas kini ND3 pada 2024 memberi bayangan bahawa model sedia ada akan terus dipasarkan untuk beberapa tahun lagi.

Apa yang pasti, Mazda telah mengesahkan bahawa Miata akan terus kekal sebagai sebahagian penting dalam barisan model mereka, tanpa mengira sama ada projek kereta sports berenjin rotary seperti RX akan direalisasikan atau tidak.

Bagi generasi akan datang, pihak Mazda memberi bayangan bahawa model tersebut mungkin lebih ringan daripada ND sekarang.

Ketua Bahagian Reka Bentuk Mazda, Masashi Nakayama, pernah menyatakan sasaran berat di bawah 1,000 kg (2,205 paun). Selain itu, Miata baharu dijangka menggunakan enjin 2.5 liter Skyactiv-Z yang lebih besar, digandingkan dengan transmisi manual.

Ketua Pegawai Teknikal Mazda, Ryuichi Umeshita, turut menegaskan bahawa enjin tersebut tidak akan menggunakan pengecas turbo, sekurang-kurangnya untuk generasi seterusnya.

Memandangkan enjin Skyactiv-Z hanya dijangka siap sekitar penghujung 2027, Miata generasi baharu berkemungkinan hanya muncul seawal 2028.

Google ads
Back to top button