Buletin

CHINA TAK DUDUK DIAM, BAKAL LAKSANA TARIF HINGGA 39.0 PERATUS UNTUK BARANGAN DIIMPORT DARI EU

Dalam perkembangan terkini, China mula bertindak balas terhadap tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang hampir mengenakan tarif besar terhadap kenderaan elektrik (EV) buatan China.

Beijing kini mengumumkan langkah “anti-lambakan” yang mensasarkan barangan yang diimport dari EU.

Langkah sementara ini akan berkuat kuasa pada hari Jumaat, dengan tarif antara 30.6 peratus hingga 39.0 peratus.

Menurut Kementerian Perdagangan China, keputusan ini diambil berikutan siasatan yang mendapati industri domestik terancam oleh import Eropah.

Langkah perlindungan ini menyerupai tindakan yang diambil di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana kerajaan-kerajaan bimbang industri automotif tempatan mereka akan terjejas akibat lambakan EV murah dari China.

Mereka menyatakan bahawa China tegas menentang amalan perlindungan yang tidak adil, tidak mematuhi peraturan, dan tidak munasabah oleh EU.

Menurut China, langkah tersebut melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Selain itu, jurucakap tersebut memberi amaran bahawa China akan mengambil segala langkah untuk melindungi kepentingan syarikat-syarikat China.

Bukan itu sahaja, China turut sedang mempertimbangkan tindakan terhadap import daging babi dan produk tenusu dari Eropah, di mana siasatan masih dijalankan.

China berjanji untuk membuat keputusan yang objektif dan adil berdasarkan hasil siasatan tersebut.

Lebih membimbangkan lagi, China turut memikirkan langkah untuk menaikkan tarif ke atas kenderaan bahan api berkuasa besar yang diimport, di mana ia akan memberi kesan kepada firma automotif Jerman dan Itali.

Langkah ini jelas menggambarkan ketegangan perdagangan antara China dan EU yang semakin meningkat selain, boleh memberi impak besar kepada industri automotif global.

Google ads
Back to top button