
ISUZU D-MAX CAPAI PERJALANAN 2,000KM DENGAN HANYA SATU TANGKI BAHAN API
Isuzu D-Max sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam penjimatan bahan api apabila semua tiga unit model terkininya berjaya mencatatkan perjalanan sejauh 2,000 km hanya dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76 liter.
Pencapaian luar biasa ini menambah rekod kehebatan trak pikap serbaguna ini yang sebelum ini pernah menamatkan perjalanan dari Bangkok ke Singapura, sejauh 1,809 km, juga dengan hanya satu tangki diesel.
Dalam ujian yang baru-baru ini diadakan, Dura Miles Challenge anjuran Isuzu Malaysia telah menguji tiga model D-Max berbeza — D-Max 1.9 liter 4×2 Auto Plus, D-Max 1.9 liter 4×4 Auto Premium, dan D-Max 3.0 liter 4×4 X-Terrain.

Ketiga-tiga trak ini memulakan perjalanan dari bandar Phitsanulok, Thailand, menuju ke Klang, Selangor. Perjalanan sejauh 2,000 km ini disempurnakan tanpa sebarang isian semula bahan api.
Keputusan ujian ini disaksikan oleh pegawai teknikal Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang turut menjadi pemerhati sepanjang perjalanan, memastikan integriti ujian ini terjamin.
Tangki minyak trak dilekatkan pelekat keselamatan bagi memastikan tiada sebarang isian semula dilakukan, dan pencapaian ini sekaligus melayakkan Isuzu D-Max dimasukkan ke dalam Malaysian Book of Records sebagai “Trak Pikap Yang Paling Jauh Dipandu Dengan Satu Tangki Bahan Api.”

Dengan rekaan aerodinamik dan enjin Euro 4 yang dipertingkatkan, Isuzu D-Max generasi ketiga ini mampu menawarkan kuasa dan kecekapan bahan api yang cemerlang.
Model 1.9 liter Single Cab yang diuji dengan beban satu tan juga mencapai jarak lebih 1,000 km, walaupun terpaksa melalui tiga kawasan pergunungan dengan ketinggian 1,000 meter dari paras laut.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kehebatan dan pencapaian luar biasa Isuzu D-Max, layari laman web rasmi mereka di pickuptruck.isuzu.net.my