LEAPMOTOR HANTAR KUMPULAN PERTAMA SUV C10 KE RANTAU ASIA PASIFIK
Leapmotor International, syarikat kerjasama 51/49 antara Stellantis dan Leapmotor, telah menghantar kumpulan pertama kenderaan elektrik (EV) Leapmotor model C10 SUV dari Shanghai, China, ke pelbagai pelabuhan di rantau Asia Pasifik pada bulan ini.
Leapmotor C10 merupakan produk global pertama Leapmotor yang dibina mengikut piawaian reka bentuk dan keselamatan antarabangsa.
Ia berasaskan teknologi LEAP3.0 yang dibangunkan sendiri oleh Leapmotor, menampilkan teknologi elektrik pintar terkemuka dalam industri seperti seni bina elektronik dan elektrik bersepadu pusat, teknologi cell-to-chassis (CTC), serta kokpit pintar utama.
Sebagai kenderaan segmen D yang direka untuk keluarga, Leapmotor C10 menawarkan pengalaman pemanduan dan pengendalian premium terbaik dalam kelasnya, dengan jarak pemanduan 420 km (berdasarkan standard WLTP) serta memenuhi piawaian penarafan 5 bintang E-NCAP.
Leapmotor kini menjadi jenama EV baharu ketiga terbesar di China, dengan penghantaran sebanyak 460,000 unit setakat September 2024.
C10 juga telah memenangi “Anugerah Reka Bentuk CMF Antarabangsa 2023” atas reka bentuk estetik teknologinya dan baru-baru ini menerima Anugerah Emas FDA 2024 dari Perancis serta Anugerah Emas 2024 daripada US MUSE Design Awards.
Penghantaran ini menandakan pencapaian penting dalam kerjasama tersebut serta komitmen bersama untuk menyediakan mobiliti lestari dan inovasi yang pantas ke pasaran EV di Asia Pasifik.
Penghantaran ini hanyalah permulaan bagi kolaborasi jangka panjang yang bertujuan mengubah landskap mobiliti elektrik di rantau ini, dengan sekurang-kurangnya satu model baharu dirancang untuk dilancarkan setiap tahun selama tiga tahun akan datang.