
DUCATI MULTISTRADA V4 RS KINI DI MALAYSIA – RM285,900
Ducati Multistrada V4 RS yang diperkenalkan sekitar Oktober 2023 akhirnya tiba di Malaysia dengan harga jualan rasmi RM285,900.

Berbeza dengan keluarga Multistrada V4 lain yang dipacu enjin Granturismo V4, varian RS pula dikuasakan enjin Desmosedici Stradale 1,103cc V4 yang diambil dari Panigale V4.
Hasilnya, Multistrada V4 RS ini menawarkan 180hp pada 12,250rpm dan 118Nm pada 9,500rpm.

Selain itu, ketika kebanyakan model Multistrada dilengkapi rim hadapan 19-inci untuk menavigasi permukaan beralun dengan lebih baik, varian RS pula dipasang dengan rim 17-inci depan dan belakang.
Selain itu, Ducati Multistrada V4 RS turut dilengkapi suspensi Öhlins Smart EC 2.0 dengan talaan elektronik bagi mencapai kawalan fork serta monoshock yang lebih tepat dan boleh diselaraskan mengikut mod Race, Sport, Touring dan Urban.

Perincian lain termasuklah disertakan bersama kaliper monoblok berkembar Brembo Stylema, ciri ‘cornering ABS’, sementara tempat letak kaki diubah menjadi lebih tinggi, manakala handlebar pula diletakkan lebih rendah berbanding jentera Multistrada yang lain.

Untuk rekod, Multistrada V4 RS turut menggunakan Desmodromic valve selain, dimuatkan dengan ciri dry clutch.
Difahamkan, bagi kumpulan pertama yang tiba di Malaysia, hanya lima unit ditawarkan buat masa ini.
GALERI: DUCATI MULTISTRADA V4 RS















