Buletin

JUTAWAN MAHU DIKEBUMI DALAM MORGAN AEROMAX. BADAN DIAWET, PAKAI JAKET, TANGAN PEGANG STERENG DAN CERUT

Seorang ahli perniagaan yang juga seorang jutawan dari Australia, Philip Allen memberitahu dia mahu dikebumikan di dalam kereta klasik kesayangannnya, Morgan Aeromax apabila dia meninggal dunia kelak. 

Allen yang juga pengumpul kereta merancang pengebumiannya dengan teliti. Dia sudahpun menempah kontena yang akan menutup kereta berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam tanah. Kontena berkenaan kedap udara dan air, manakala kereta itu dinaikkan sedikit daripada tanah untuk mengelakkan tayarnya daripada pancit. 

Kontena itu dilapisi oleh konkrit bagi mengelakkan kereta tersebut dicuri. Allen turut mahu badannya diawet, selain dipakaikan dengan seluar dan jaket kulit, serta but kulit buaya. Sebelah tangannya memegang stereng dan sebelah lagi memegang cerut. 

Ini mungkin cara untuk dikebumikan yang paling bergaya pernah kita dengar dalam zaman moden. 

Allen memiliki perniagaan mengimport sistem bunyi serta unit pembesar suara jenama JBL dan Kickers ke pasaran Australia. Dia mengakui Aeromax ialah cinta abadinya dan kereta tersebut dibuat khas untuk pengacara terkenal Richard Hammond. Dia membeli kereta itu pada tahun 2014 pada harga £143,000 (RM832,200).   

Allen juga perlu berbelanja sebanyak AS$75,000 (RM315,000) lagi untuk menjadikan Aeromax tersebut sebagai kerandanya. 

Google ads
Back to top button