Buletin

TIDAK CUKUP TEMPAT, MAYAT MANGSA COVID-19 DI NEW YORK DISIMPAN DALAM TRAK SEJUK BEKU

Jumlah kematian yang terus meningkat akibat Covid-19 di New York menyebabkan bandaraya itu bergelut untuk mengendalikan jumlah mayat yang banyak.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat wabak itu Amerika Syarikat melepasi 3,485 kes. Ini membuatkan situasi pekerja kesihatan membawa mayat ke luar hospital menjadi seperti satu pemandangan biasa.

Malah, sembilan mayat dilihat dimasukkan ke trak sejuk beku di luar Hospital Wyckoff di Brooklyn sebagai pusat penyimpanan sementara.

Beberapa pemilik rumah mayat yang ditemubual AFP berkata, mereka bergelut dengan jumlah kematian akibat COVID-19 di New York melebihi 500 sehari.

“Kebanyakan rumah pengebumian tidak mempunyai tempat penyejukan. Jika ada pun jumlahnya adalah terhad,” kata  pemilik rumah mayat Crowe di Queens, Ken Brewster.

Pat Marmo yang menguruskan lima rumah pengebumian di seluruh bandar itu mengakui tertekan apabila kehilangan seorang sepupu dan sahabat akibat pandemik tersebut. 

“Hospital tidak lagi menerima kami. Mereka mahu keluarga mengambil mayat secepat mungkin dan rumah pengebumian tidak mempunyai kemudahan untuk mengendalikan mayat ini,” katanya.

Marmo menganggarkan syarikatnya kini berurusan dengan jumlah mayat tiga kali ganda daripada biasa dan pengebumian dijangka dapat diselesaikan bulan depan.“Kejadian ini sama seperti yang berlaku ketika tragedi 11 September,” katanya lagi. Mayat mangsa jangkitan COVID-19 mungkin dikebumikan di taman awam New York.

“Mayat akan dikebumikan secara 10 keranda dalam satu baris. Ia akan dilakukan dengan cara yang bermaruah, teratur dan sementara,” tweet seorang Ahli Majlis Manhattan,  Mark Levine.

Menurut Levine, seramai 130,000 warga New York diuji positif virus itu, dengan 16,000 daripada mereka kini dirawat di hospital. Setakat ini,  New York sudah mencatatkan 4,758 kematian. – AFP 

Google ads
Back to top button