Buletin

POLIS ITALI GAGALKAN CUBAAN CURI MAYAT ENZO FERRARI

Inilah nasib orang popular seperti Enzo Ferrari. Pihak berkuasa Itali minggu ini mengeluarkan kenyataan yang mereka telah berjaya mematahkan cubaan untuk melarikan mayat lagenda permotoran Itali, Enzo Ferrari.

Benar, Enzo Ferrari yang cuba dilarikan ialah mayat beliau dan bukannya sebuah Ferrari Enzo. Ingatkan belah Asia je banyak unsur mistik tetapi rupanya di sebelah Itali pun sama. Apapun pihak polis di Nuoro, Pulau Sardinia menyatakan ia bertujuan untuk menuntut wang tebusan. Memang bukan untuk tujuan mistik tetapi bermotifkan wang.

Ferrari meninggal dunia pada tahun 1988 sewaktu berusia 90 tahun. Kini selepas tiga puluh tahun disemadikan, nyaris-nyaris keranda beliau dikeluarkan oleh sekumpulan penjenayah dan dilarikan untuk wang tebusan. Beliau merupakan pengasas syarikat yang telah mengeluarkan kereta sport mewah antara yang paling laju dan paling mahal di dunia.

Pihak berkuasa juga mengatakan yang rancangan untuk melarikan Ferrari telah disedari secara tidak sengaja sewaktu mereka membuat siasatan penyeludupan senjata dan dadah. Sebaik maklumat diperolehi, pihak berkuasa telah mengerahkan sejumlah helikopter dan anggota tentera dari unit payung terjun untuk melaksanakan 34 waran tangkap.

Semua suspek dikatakan menganggotai Anonima Sequestri, sebuah organisasi jenayah Sardinia yang terkenal dengan kegiatan menculik untuk wang (Jangan ingat Abu Sayyaf je buat kerja macam ni).

Mayat Ferrari dikatakan diletakkan di pusara keluarga di Modena, berhampiran dengan kilang pengeluaran Ferrari di Maranello, tengah Itali. Anggota kumpulan tersebut dikatakan telah membuat persiapan rapi dengan menyelidik terlebih dahulu kawasan perkuburan tersebut sebelum merancang operasi.

Enzo Ferrari, rupa waktu mudanya seiras Mesut Ozil, pemain pasukan bolasepak paling hebat di alam semesta – Arsenal

Pengasas Ferrari itu kembali popular akhir-akhir ini bila dua buah filem bakal ditayangkan berkenaan kisah hidup beliau. Satu dilakonkan oleh Robert De Niro dan satu lagi oleh Hugh Jackman. 

Jangan ingat senang nak curi Ferrari ni, kadang-kadang ada yang memang berada di dalam tanah (orang mahupun kereta). Contohnya pada tahun 1978, sebuah Ferrari Dino 246 GTS yang telah dicuri dan hilang selama empat tahun telah ditemui terbenam di dalam tanah di belakang sebuah rumah di California. Ia kemudiannya menjalani proses restorasi dan kembali berada di atas jalan dengan megah.

Kisah yang hampir serupa pernah berlaku pada tahun 1977, bila seorang hartawan Beverly Hills meninggal dunia dan disemadikan bersama dengan kereta kegemaran beliau (Ferrari 250GT 1964). Jika ada sesiapa ingin melarikan beliau yang diletakkan di tempat duduk pemandu kereta tersebut atau kereta itu sendiri, lupakan sahaja kerana kawasan perkuburan beliau telah dikelilingi dengan curahan konkrit padu untuk menghalang penceroboh.

Sebab itulah Abang Japar memilih untuk menjadi orang kebanyakan sahaja, payah juga kalau dah terlampau popular. Nak bersemadi dengan aman pun susah.

BACA: HUGH JACKMAN BAWA WATAK ENZO FERRARI

BACA: BOS FERRARI SINDIR PEMBELI LAMBORGHINI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button