
KAJIAN RAMAL FORD, GM MAMPU ATASI TESLA 2025
Tesla mungkin pada ketika ini sedang bergembira dengan penguasaan pasaran yang besar di dalam segmen kenderaan elektrik.
Namun menurut kajian pakar analisis kanan di Bank of America Merril Lynch, John Murphy berkata, dua gergasi Detroit (Ford & GM) dijangka akan merampas kembali kelebihan yang ada pada Tesla menjelang pertengahan dekad ini, di mana setiap satu pengeluar mempunyai pegangan pasaran sekitar 15 peratus berbanding Tesla (11 peratus).
Murphy percaya Tesla akan kehilangan kedudukan yang dominan di dalam segmen EV disebabkan syarikat itu tidak cukup pantas untuk mengembangkan portfolio produknya.
Jelasnya lagi, CEO Tesla Elon Musk mempunyai tempoh ‘hampagas’ selama 10 tahun di mana beliau tidak berdepan dengan saingan yang cukup sengit, namun “ruang lompong itu kini sudah pun dipenuhi dengan bermacam-macam produk menarik.”
“(Elon) tidak bergerak dengan pantas. Beliau sebelum ini mempunyai kelebihan di mana pengeluar lain sukar untuk mengatasinya, dan tidak dapat melakukan apa yang dibuat, dan kini mereka sedang melakukannya.
Eksekutif daripada Ford dan GM menyasarkan untuk merampas kembali gelaran pengeluar EV nombor satu daripada Tesla menjelang akhir dekad ini.
Ford menjangkakan akan membina 2 juta kenderaan elektrik di seluruh dunia pada tahun 2026, sementara GM menyebut mereka mempunyai kapasiti yang lebih daripada 2 juta EV di Amerika dan China sepanjang tahun 2025. – Automotive News