KALMAR 7-97 C1, 4.0L 401 HP DAN 426NM, ACI ENGKOL 997 GT3, KINI BERADA DI AS
Di antara kereta yang menjadi kegemaran penala dan peminat kereta di barat ialah Porsche klasik.
Ada sesuatu mengenai Porsche klasik yang sukar dijelaskan, mungkin disebabkan sejarah, kegemilangan, prestasi atau ngauman enjin boxer yang membangkitkan aura sendiri.
Memandu Porshce ibarat satu pengesahan bahawa anda merupakan peminat sejati dunia kereta.
Terbaru syarikat naik taraf dan baik pulih kereta tempahan khas dan kenderaan kembara kegunaan khusus KALMAR Automotive menghantar unit pertama 7-97 ke Amerika Syarikat (AS).
Kalmar 7-97 Classic kini boleh didapati di syarikat pengumpul, pembaik pulih dan penjual dan muzium kereta, Canepa di California.
Kalmar 7-97 Classic di AS itu dinamakan C1 sempena Canepa dan diasaskan dari 993. Satu yang menarik ialah C1 tidak mempunyai jalur air di sisi.
Penutup belakang (deck lid) turut diubah dan bersama lekatan kaca unik dari Kalmar mengurangkan angkatan, seretan dan bunyi angin.
Setiap Kalmar 7-97 direka dan dibangunkan sebagai penghormatan kepada warisan dan gaya 911 ST era 70-an yang langka.
7-97 menggunakan 964 atau 993 sejukan udara sebagai asas dan dibuat dalam tiga gaya badan iaitu oupé, cabriolet atau targa dan RS-R.
C1 digerakkan enjin 4.0 liter yang menghasilkan 401 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 426Nm. Enjin dipadan bersama kotak gear enam kelajuan dan pacuan semua roda.
Enjin diubah suai dengan pemasangan aci engkol 997 GT3 4.0 liter dan badan pendikit berasingan drive-by-wire.
Turut dilengkapi pengangkat (lifter) jenis mekanikal, sistem ekzos yang dinaik taraf, dua penyejuk enjin dan Unit Kawalan Elektronik (ECU) Motec M150 dengan OBDII dan penapis udara buatan khas.
Ringkas dari luar, C1 menggunakan ampaian boleh suai aktif, gandar belakang pelbagai pautan, bateri litium ultra ringan.
Mereka yang mahu lebih istimewa boleh memesan sistem kawalan cengkaman dengan mod Sport, brek seramik dan sistem angkatan gandar depan. Semua perkakasan tersebut boleh ditemui pada C1.
Bahagian dalam dibalut kulit termasuk kerusi Recaro dan pelanggan ditawarkan dua beg udara.
Lagi kelengkapan seperti kunci kawalan jauh, sistem audio dengan Bluetooth yang tersorok dan menariknya pengelap cermin dengan pengesan hujan.
Lagi ciri kereta moden seperti kunci dengan butang buka dan tutup ruang bagasi depan dan belakang. Fungsi bukaan frunk depan secara elektronik itu sama seperti 911 baharu.
Setiap 7-97 dibangunkan sendiri secara dalaman dan menggunakan panel badan gentian karbon, penyaman udara elektrik dan sistem stereng berkuasa untuk mempertingkatkan keseimbangan berat.
Dari segi berat, model pacuan belakang hampir 1,150 kilogram (kg) manakala C1 dan model pacuan semua roda sekitar 1,215 kg. Kalmar turut menawarkan versi lebih ringan.
Kalmar Automotive hanya mengeluarkan 12 buah 7-97 setahun dan untuk pelanggan di serata dunia. Harga bergantung kepada spesifikasi.