TOYOTA COROLLA TOURING (WAGON) HIBRID SEBAGAI KERETA POLIS!
Seronok melihat kereta yang menjadi pilihan polis di serata dunia. Kereta polis tidak semuanya sama dan dibeli mengikut tujuan seperti rondaan, tugas harian atau pengiring.
Dari situ ada pelbagai jenis dari model kebanyakan sehingga berprestasi tinggi. Di antara yang menarik ialah kereta super dan hiper dijadikan sebagai ‘anggota’ polis.
Terbaru Toyota mengubahsuai Corolla Touring Sports untuk ditawarkan kepada polis di United Kingdom (UK).
Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan Bahagian Operasi Kenderaan Khas di kilang Toyota Burnaston, Derbyshire yang juga pusat pengeluaran kesemua model Corolla di Eropah.
Toyota Manufacturing UK (TMUK) bekerjasama dengan beberapa pasukan polis sepanjang dua tahun lalu bagi memastikan kenderaan itu memenuhi keperluan utama untuk dipertimbangkan apabila kenderaan sedia ada diganti atau dinaik taraf.
Menggunakan kemudahan pengeluaran canggih TMUK dan kepakaran kakitangan, projek ini telah mencapai tahap skala ekonomi yang ketara dan membantu dalam menurunkan kos.
Keupayaan pengeluaran dijangka dapat dikembangkan kepada 15 buah pengubahsuaian setiap minggu.
Ciri-ciri utama kenderaan spesifikasi polis:
- Navigasi satelit terbina dalam, penderia parkir dan jaring pemisah pada bahagian belakang
- Lampu atas bumbung, nyalaan luar dan dalam
- Kelengkapan bateri kedua dan sistem kawalan yang boleh menahan hentakan
- Siren, sistem radio dan pilihan grafik badan
Bagi memastikannya sesuai untuk berkhidmat, Corolla Spesifikasi Pihak Berkuasa Polis telah menjalani ujian termasuk program pengujian ketat oleh Polis Metropolitan dan lulus dengan cemerlang.
Toyota menawarkan dua varian Corolla Touring Sports iaitu 1.8 liter Active dan 2.0 liter Icon.
Dari segi kuasa, model jalanan Corolla 1.8 liter 2ZR-FXE menghasilkan 98 kuasa kuda (hp) pada 5,200 rpm dan daya kilas 142Nm pada 3,600 rpm.
Keseluruhan sistem hibrid memiliki kuasa 140 hp. Motor elektrik mempunyai daya kilas 185Nm.
Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 9.4 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j.
Model 2.0 liter M20A-FXS menghasilkan 152 hp pada 6,000 rpm dan 190Nm pada 4,400 dengan keseluruhan sistem mempunyai kuasa 196 hp. Motor elektrik menghasilkan 206Nm.
Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j lebih pantas dengan masa 7.7 saat dan kelajuan tertinggi sama seperti Corolla Touring Sports 1.8.