PROTOTAIP KTM 990 ADVENTURE DIKESAN DI EROPAH
Ketika KTM melancarkan 990 Duke baharu, kami telah pun menjangkakan ketibaan model 990 Adventure.
Beberapa bulan selepas kami menguji 990 Duke di Almeria, Sepanyol, kini timbul rupa sulung 990 Adventure berdasarkan beberapa imej ‘spyshot’ yang diambil di Eropah oleh Motorradonline.
Apa yang mencuri tumpuan adalah reka bentuk keseluruhan prototaip tersebut yang menyimpang jauh dari 890 Adventure dan 1290 Super Adventure. Bahagian lampu depan juga jauh berbeza dari 990 Duke.
Elemen utama yang mencuri tumpuan adalah penggunaan lampu projektor LED berbentuk bulat di hadapan. Selain itu, turut menampakkan panel meter TFT jenis menegak.
Sementara itu, panel sisi juga kelihatan lebih minimalis berbanding 890 Adventure. Reka bentuk tangki juga berlainan. Selain itu, turut kelihatan penggunaan ‘sub-frame’ baharu namun dipadankan dengan lampu belakang yang dikekalkan dari 890 Adventure. Turut dikenal pasti adalah sistem penyejuk baharu.
KTM 990 Adventure ini dikuasakan platform LC8c parallel-twin 947cc (yang sama terdapat pada 990 Duke) dan menawarkan 123hp dan 103Nm. Bagaimanapun, kami jangkakan sedikit talaan akan dilaksanakan bagi memfokuskan prestasi tork puncak.
Mengambil kira rupa keseluruhan 990 Duke ini masih lagi dalam peringkat awal, berkemungkinan model ini hanya akan dilancarkan lewat tahun depan atau awal 2026.