Buletin

KASTAM SITA 32 KERETA IMPORT LANGGAR SYARAT GUDANG BERLESEN

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 32 unit kenderaan import pelbagai jenis bernilai lebih RM8.45 juta disyaki melanggar syarat gudang berlesen dalam operasi di sekitar Lembah Klang antara 29 Julai hingga 7 Ogos, lalu.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata semua kenderaan itu dikesan disimpan di dua gudang berlesen milik beberapa syarikat import kenderaan, masing-masing di Seksyen 85A, Jalan Pahang, Setapak dan Sungai Penchala, Damansara.

Menurut beliau, rampasan dibuat menerusi Operasi Purple (Op Purple) dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKDM WPKL), sepanjang tempoh berkenaan.

“Siasatan awal mendapati pemilik gudang berlesen gagal mematuhi syarat ditetapkan di bawah Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967 apabila menyimpan kenderaan itu melebihi tempoh 48 bulan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan rapi menemukan 32 unit kenderaan import yang disyaki tidak berkastam dan melanggar syarat gudang berlesen.

“Nilai 32 kenderaan yang dirampas dan disita adalah RM3,075,500 manakala anggaran duti import dan cukai berjumlah RM5,376,627, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM8,452,127,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, modus operandi sindiket dikesan menyalahgunakan pengecualian duti yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967 untuk menyimpan kenderaan di gudang tanpa melunaskan cukai.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Norizan berkata sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, JKDM WPKL merekodkan 353 kes dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM72.12 juta.

Katanya, rampasan membabitkan pelbagai komoditi termasuk rokok, minuman keras, besi import, dadah, dron dan lain-lain komoditi.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain. Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Orang awam boleh menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat. – Berita Harian

Google ads
Back to top button