Buletin

KASTAM RAMPAS ENAM BUAH KERETA, LIMA BUAH MOTOSIKAL KLON

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas enam buah kereta klon, dua motosikal berkuasa tinggi dan tiga buah RXZ hasil operasi serta risikan selama dua bulan bermula 15 Februari hingga 15 April.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi tersebut tidak tertumpu di Kelantan sahaja tetapi meliputi negeri Selangor, Johor Bharu dan Kedah dengan anggaran nilai serta cukai semasa berjumlah RM579,418.

“Bagi kenderaan klon ini ia diseludup dari Singapura.

“Kenderaan (motokar) diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian I, Butiran 3(2), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Manakala motosikal diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957.

Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk membeli kenderaan serta motosikal yang menawarkan harga jauh lebih murah.

Ujarnya, kebiasaan kenderaan atau motosikal ini dijual dengan harga yang lebih murah iaitu 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button