
KG MOBILITY CABAR FORD RANGER DENGAN PIKAP BAHARU Q300, LANCAR TAHUN INI
Pasaran trak pikap bersaiz sederhana terus berkembang pesat di peringkat global, mendorong pengeluar kenderaan berlumba-lumba memperkenalkan model baharu untuk menyaingi pilihan popular seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux.
Selepas Kia memperlihatkan Tasman baru-baru ini, kini giliran KG Mobility (dahulu dikenali sebagai SsangYong) tampil dengan strategi baharu.
Syarikat itu merancang untuk menjadikan nama Musso sebagai sub-jenama khusus bagi trak elektrik, hibrid serta enjin pembakaran dalaman.
Tidak lama selepas pelancaran Musso EV, KGM mula mengusik sebuah lagi model pikap bersaiz sederhana dengan penampilan lebih maskulin dan lasak, menggunakan kod nama Q300.

Model ini dijangka menggantikan Rexton Sports yang kini dikenali sebagai Musso di pasaran antarabangsa.
Daripada rakaman acah yang dikongsikan, Q300 menampilkan lampu utama LED dengan rekaan diinspirasikan Ford F-150 serta BYD Shark, manakala gril lima slot ala Jeep diserikan dengan jalur bercahaya. Bampar tebal dengan bukaan besar pula menyerlahkan gaya garang trak tersebut.
Di bahagian sisi, kelihatan penggunaan cladding dengan lampu isyarat terbina, menyerupai Musso EV, namun katil belakang lebih panjang menunjukkan rekaan overhang yang diregangkan.
Bahagian tiang, rel bumbung nampaknya masih mengekalkan bentuk daripada Rexton Sports sedia ada. Di belakang, lampu menegak nipis dipadankan dengan pintu but yang timbul.

Walaupun ruang dalaman belum dipamerkan, dijangkakan Q300 bakal hadir dengan kokpit digital moden serta susun atur kabin lima tempat duduk, memandangkan ia berkonsepkan badan double-cab.
Sebagai perbandingan, generasi semasa Rexton Sports/Musso diperkenalkan sejak 2018 dan menerima kemas kini pada 2023.
Ia menggunakan kerangka ladder frame sama seperti SUV Rexton, dengan pilihan enjin petrol serta diesel tanpa elektrifikasi. Bagi versi terbaharu nanti, KGM dijangka mengekalkan asas tersebut tetapi menambah baik prestasi serta menawarkan pilihan hibrid.

Pelancaran penuh model ini dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan sasaran mula dipasarkan sekitar 2026.
Selain pasaran Korea, trak ini juga berpotensi menembusi Eropah, UK dan Australia, sekali gus mencabar barisan pesaing mapan termasuk Ford Ranger, Toyota Hilux, Mitsubishi Triton/L200, Nissan Navara, Isuzu D-Max, Mazda BT-50, Volkswagen Amarok, Kia Tasman, GWM Cannon serta Maxus/LDV T60.



