
TEMPAHAN SUZUKI FRONX KINI DIBUKA, LANCAR TAK LAMA LAGI
Suzuki bakal melancarkan model SUV kompak terbaharunya, Fronx di pasaran Malaysia dengan tempahan awal kini telah pun dibuka, memberi isyarat bahawa pelancarannya semakin hampir.
Fronx merupakan sebuah crossover segmen-B dengan dimensi 3,995mm panjang, 1,765mm lebar, 1,550mm tinggi serta jarak roda 2,520mm. Saiz ini meletakkannya sebaris dengan pesaing seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.
Dari segi rekaan, model ini menonjol dengan lampu siang LED nipis hasil susun atur lampu utama jenis split, manakala bahagian belakangnya hadir dengan rekaan lampu rentang penuh serta bampar bergaya lasak. Ciri tersebut dilengkapkan lagi dengan rim 16-inci.

Bahagian dalaman pula dibekalkan dengan paparan infotainmen sembilan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan ialah paparan HUD, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik serta corong penghawa dingin untuk penumpang belakang.
Tiada pendedahan dibuat mengenai spesifikasi untuk pasaran tempatan, tetapi di Indonesia, dua pilihan enjin ditawarkan iaitu enjin 1.5L empat silinder NA dengan 105hp/138Nm, serta enjin 1.5L mild-hybrid berkuasa 101hp/135Nm yang dipadankan bersama bateri lithium-ion 12V dan integrated starter generator.
Pilihan transmisi pula merangkumi manual lima kelajuan, automatik empat kelajuan atau automatik enam kelajuan (untuk versi hibrid ringan).

Aspek keselamatan tidak diabaikan apabila Fronx dibekalkan dengan enam beg udara sebagai standard, manakala varian lebih tinggi mendapat pakej ADAS yang merangkumi;
- Brek kecemasan automatik (AEB)
- Kawalan kelajuan adaptif
- Lane keep assist
- Amaran keluar lorong
- Pemantauan titik buta
- Amaran lintasan trafik belakang
- Kamera 360 darjah
- High Beam Assist
Bagi pasaran Indonesia, Fronx CKD ditawarkan pada harga bermula IDR259 juta hingga IDR322 juta (sekitar RM67,000 – RM83,000).
Model yang dipasarkan di Malaysia dijangka hadir dengan harga anggaran sekitar RM80,000 hingga RM100,000.




