
KASTAM SARAWAK PATAH CUBAAN SELUDUP DUA KERETA MEWAH BERNILAI RM354K
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dua kereta mewah tanpa pengisytiharan yang sah,melibatkan sebuah Honda NSX (NA1) dan Lexus RC300 F-Sport, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM354,574.15.
Operasi dijalankan pada 5 Disember di Pelabuhan Pending, Kuching, hasil kerjasama strategik antara Pusat Risikan Kastam dan Unit Operasi Darat JKDM.
Menurut Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, kedua-dua kenderaan tersebut ditahan untuk pemeriksaan rapi selepas didapati ada ketidaksepadanan dalam dokumen yang dikemukakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati maklumat pada Borang Kastam 3 adalah selari dengan Sijil Pemilikan Kenderaan. Namun, semakan dengan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan nombor casis kenderaan tersebut tidak sepadan,” jelas Norizan.
Situasi ini mencetuskan syak bahawa kenderaan berkenaan mungkin terlibat dalam penyeludupan melalui penggunaan dokumen dan nombor pendaftaran kenderaan lain yang sah.
Sejurus siasatan, kedua-dua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Menurut Norizan, penyeludupan kenderaan tanpa pengisytiharan kastam biasanya melibatkan penggunaan nombor pendaftaran sah milik kenderaan lain untuk mengelirukan pihak berkuasa.
Taktik ini memberi keuntungan besar kepada sindiket kerana dapat mengelak daripada membayar cukai dan duti import yang tinggi. – iloveborneo
- BACA: PERALIHAN KENDERAAN KERAJAAN KEPADA EV DIBUAT SECARA BERPERINGKAT
- BACA: BYD LANCAR INISIATIF BAHARU DALAM BIDANG ROBOTIK HUMANOID
- BACA: TOYOTA LABUR RM7.15 BILION DI THAILAND, TINGKAT PENGELUARAN KENDERAAN HIBRID
- BACA: SUBARU LEVORG STI SPORT R-BLACK LIMITED UNTUK JEPUN, VARIAN LAIN TURUT DIPERTINGKAT









