ModifikasiMotosikal

KAWASAKI NINJA H2 300HP – MODIFIKASI HEBAT YANG KECUNDANG

Betul ke Ninja H2 ada 300 hp kuasa? Bukan H2R ke? Mungkin ada yang akan bertanya tetapi memang benar Ninja H2 ini bukannya H2R yang hanya boleh digunakan di litar sahaja. Ia merupakan sebuah model yang sudah diubahsuai sehingga kuasanya berjaya dinaikkan ke 300 hp.

Semua sedia maklum yang Kawasaki Ninja H2 merupakan sebuah motor paling ganas Kawasaki yang dihasilkan untuk kegunaan di atas jalan raya. Bukan hanya rupanya yang cukup agresif berbanding model Ninja lain tetapi ia juga mempunyai enjin yang paling berkuasa.

Enjin asal 999 cc dengan supercharger ini berupaya menghasilkan 300 hp kuasa maksima tetapi telah diturunkan kepada 200 untuk kegunaan di atas jalan raya dan sebagai menghargai perjanjian kuasa maksima untuk superbike dengan pengeluar lain.

Tapi macam biasa, mesti ada yang tidak akan berpuas hati dengan angka kuasa asal tersebut. Biasanya mereka yang mampu dan sedikit….gila. Maunya tak, kenapa kau tak pergi beli H2R je, lagi senang kan?

H2 dalam video ini telah diubahsuai dengan penukaran beberapa alat ganti yang lebih tahan lasak. Tekanan boost supercharger pula telah dinaikkan dari 20 ke 24 psi. Kemudian bila diuji kembali menggunakan mesin Dyno, angka kuasa baru telah melonjak kepada 300 hp! Ia tidak  sehebat H2R yang mempunyai tekanan boost 35 psi tetapi bagi H2 biasa yang layak digunakan di atas jalan raya, ia benar-benar luar biasa.

Okey, itu baru aspek modifikasi, bagaimana prestasinya sewaktu ditunggang? Ia memang cukup mengujakan. Gear 1 pada sebuah superbika biasanya ditetapkan lebih panjang tetapi dengan boost setinggi 24 psi, ia kelihatan begitu singkat apatah lagi selepas takat 6,000 rpm. Dalam masa 4 saat sahaja dan masih dalam kedudukan gear 1, H2 ini sudah pun mencatat kelajuan 145 km/j. Dan sebaik sahaja pecutannya di teruskan, enjin dengan supercharger mendorong Ninja ini mencatat kelajuan maksima 380 km/j.

Namun setiap satu mesti ada hadnya. Berbeza dengan H2R yang dihasilkan di kilang khusus untuk mengekang kuasa maksima 300 hp dari enjinnya, Ninja H2 yang diubahsuai ini akhirnya kecundang. Itupun selepas melalui jarak tunggangan 16,000 kilometer ataupun 300 kali di belasah di atas litar.

BACA: KAWASAKI PERKENALKAN NINJA H2 DAN H2R 2018 – PRE ORDER SAHAJA TAU

Paling mengerikan bila ia berlaku saat H2 ini dipecut pada kelajuan 300 km/j. Nasib baik sewaktu insiden tersebut berlaku, roda belakang tidak terkunci yang mungkin akan mengakibatkan kemalangan yang serius. Penunggangnya juga berjaya mengawal motosikal dengan baik dalam keadaan minyak pelincir yang bocor bercucuran.

Malah videonya juga berjaya dirakam dengan menggunakan kamera rakaman yang dipasang pada motosikal tersebut.

Bila diperhatikan selepas insiden tersebut, bukan hanya cecair penyejuk dan pelincir yang bocor tetapi kegagalan piston telah menghasilkan lubang besar pada bahagian badan enjin. Nasib baik tak bersepai terus kan?

Apapun pemiliknya menyatakan yang ia masih dapat diselamatkan bila alat gantinya sampai. Nasib baik, kalau tak sedih betul, dah la pakai motor mahal.

Google ads
Back to top button