Buletin

SISTEM KAWALAN G-VECTORING MAZDA – MENJADIKAN PEMANDUAN LEBIH BAIK TANPA DISEDARI PEMANDU ITU SENDIRI

Lapan tahun. Itulah masa yang diambil oleh Mazda untuk membangunkan teknologi ini yang akan membuatkan kereta-kereta yang bakal dihasilkan akan lebih seronok dipandu, walaupun prosesnya sukar untuk dijelaskan. Malah para jurutera Mazda turut memberitahu yang kesan G-Vectoring Control adalah cukup halus dan sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Ia juga menyukarkan pihak pemasaran dan PR untuk menjelaskannya kepada bakal pelanggan.

Apa sebenarnya G-Vectoring Control ni?

Sistem ini hanya diaktifkan bila komputer dalaman kereta mengesan input stereng dan pendikit (throttle). Data tersebut termasuklah kedudukan pendikit, sudut stereng dan paling penting sekali ialah berapa cepat anda mengubah kedudukan stereng. Semua ini diambil kira untuk menyelaraskan tork enjin yang kemudiannya memindahkan berat kenderaan, bagi menambahkan cengkaman ke bahagian roda yang memerlukannya. Sistem ini muncul pertama kali pada tahun 2017 untuk model Mazda6 sedan dan kemudiannya diikuti oleh Mazda3.

Kesan sistem G-Vectoring ini kadang kala sangat kecil untuk dirasakan oleh tubuh badan manusia. Ini kerana ia boleh mengesan satu persepuluh daripada satu darjah sudut stereng dan mengubah daya membelok sekitar 0.1 hingga 0.5 g.

Secara praktikalnya, G-Vectoring mengurangkan putaran stereng yang perlu dilakukan sewaktu membelok. Berdasarkan video yang ditunjukkan oleh Mazda dalam ujian di Jepun memaparkan bagaimana seorang pemandu dapat memandu dengan lebih baik dalam keadaan bersalji berbanding dengan tanpa menggunakan G-Vectoring. Semua sekecil-kecil input diambil kira untuk memastikan kereta tersebut kekal di atas jalan lurus dalam keadaan jalan yang beralun dan dilitupi salji.

BACA: SKYACTIV-D, REVOLUSI DIESEL UNTUK DUNIA YANG LEBIH BERSIH

Dengan kata lain ia sememangnya sistem yang sukar untuk dikesan walaupun jika anda mengujinya dengan menghidup dan memadamkan fungsi G-Vectoring (Hanya kenderaan ujian Mazda mempunyai fungsi on/off ini. Kenderaan yang dipasarkan mempunyai fungsi yang sentiasa dihidupkan). Hanya mereka yang cukup sensitif dan pernah merasa pemanduan kenderaan yang sama tanpa sistem ini mungkin merasainya.

Habis tu kenapa Mazda sibuk sangat membangunkan sistem yang tidak disedari kewujudannya? Ia sebenarnya berkait rapat dengan falsafah yang dipegang teguh oleh syarikat ini, sesuatu yang digelar Hashiru Yorokobi ataupun keseronokan daripada pemanduan.

Bukan keseronokan memandu tetapi keseronokan daripada pemanduan itu sendiri. Mungkin tidak ramai memahaminya dan merasakan tidak perlu mencipta sesuatu yang tidak dapat dirasa ataupun dilihat tapi bagi Mazda itulah ideologi yang dipegang mereka untuk memastikan pemanduan sesuatu yang meneronokkan dan pada masa yang sama selamat.

G-Vectoring hanyalah satu permulaan, ia merupakan sebahagian daripada pakej teknologi yang dinamakan SkyActiv Vehicle Dynamic oleh Mazda. Sama seperti G-Vectoring ia juga akan berfungsi di bawah kesedaran pemandu untuk menjadikan pemanduan lebih selamat dan intuitif.

Google ads
Back to top button