
Buletin
KBS RALLY SPRINT 2024 – SALADIN MAZLAN KEMBALI MUNCUL JUARA
Hujung minggu yang baru ini sebenarnya telah berlangsung acara perlumbaan Rally Sprint yang paling dinantikan, KBS Rally Sprint 2024. Siri pertama telah pun berlangsung pada bulan Februari lalu yang diadakan di MAEPS Serdang. Jom kita baca apa yang menarik tentang acara ini.
- Sebelum bermulanya perlumbaan Rally Sprint ini, pihak penganjur X-One Motorsports Club terlebih dahulu menganjurkan Klass Rally khusus untuk mereka yang baru hendak berjinak dengan sukan rali.
- Perlumbana siri kedua KBS Rally Sprint ini telah pun diadakan di KL Flyzone – KL Base, yang dahulunya merupakan bekas Kem TUDM Sg Besi.

- Ini merupakan kali pertama Rally Sprint di adakan di KL Base yang mana sebelum ini ianya pernah dianjurkan bertempat di Litar Sepang dan juga MAEPS Serdang.
- Selain daripada faktor kos penganjuran pemilihan KL Base sebagai lokasi perlumbaan ini dilihat lebih bertepatan dengan tema Rally Sprint itu sendiri. Sebelum ini pemandangan pertandingan mungkin dilihat lebih terbuka apabila lokasi perlumbaan membabitkan hanya kawasan parkiran tetapi di KL Base ini selain kawasan lapang yang dijadikan lokasi perlumbaan, terdapat juga permukaan berbatu dan berpasir yang pastinya menguji tahap pemanduan seorang pemandu rali.

- Lengkap juga dengan lompatan kecil untuk pemandu menguji keberanian kereta mereka. Syakirin yang sempat ditemui turut menyatakan kekesalannya akibat daripada mengikut nafsu hingga mengakibatkan kerosakan pada bahagian enjin Honda Jazz yang dipandunya.
- Terdapat juga laluan seakan di kawasan desa yang dipenuhi dengan pepohonan kiri dan kanan perlu ditempuhi oleh pemandu sambil cuba untuk memecut laju dengan terdapat juga beberapa selekoh tajam. Ini baru betul rali!
- Lokasi perlumbaan KL Base yang dipilih ini juga dilihat lebih mesra peminat / ahli keluarga apabila terdapat kemudahan tandas dan gerai jualan yang memudahkan pengunjung.
- Apabila senarai nama peserta diumumkan, terdapat sejumlah 31 kereta yang mendaftar termasuklah untuk kategori Rookie Cup. Lebih ramai daripada sebelum ini.

- Perlumbaan kali ini menampilkan pemandu handalan dalam kelas masing – masing dengan juara sebelum ini Mitch Chong bersama Muhammad Fadzli memandu Proton Satria 1.8 turut beraksi.
- Mantan juara, Saladin Mazlan yang berpasangan dengan Aris Qutb turut kembali beraksi setelah kecewa dalam perlumbaan sebelum ini akibat kerosakan ECU kini tampil semula bersama Mini Deus yang buas dan liar itu.

- Haji Sutan juga kembali beraksi bersama pasangan baru, Haji Wan Kamarul Anuar kekal bersama Subaru Impreza dan juga seorang lagi pemandu rali regular, Faidzal Alang bersama Zamri Muhamat yang memandu Mitsubishi Evo.
- Dalam kelas 2WD juga tidak kurang meriahnya dengan kehadiran Syakiran Razaki dan Amir Izham memandu Honda Jazz GE, Zahid Latiff dan Kamal Shukri bersama Daihatsu Mira L5, Shafiq Shamsudin dan isteri Shasha Shafie yang memandu Suzuki ZC32 serta Zaidan Zainudin bersama Ahmad Hafiyuddin yang memandu Proton Satria Neo.

- Terdapat juga jentera RWD seperti Proton Satria Neo 2.0 yang dipandu oleh Nazam Shah bersama Muhammad Firdaus dan juga Toyota MRS 1.8 yang dipandu oleh Iqbal Suji bersama Syazwan Akif.
- Menarik juga sebenarnya untuk melihat kereta olskool yang turut beraksi dalam Rally Sprint kali membabitkan Mini Morris yang dipandu Nik Ammar bersama Muhammad Aiman dan juga Toyota KE 1.3 yang dipandu oleh Ryan Ahmad bersama Marcus Chan. Baru betul meriah rali kali ini.
- Penyertaan kali ini juga dilihat lebih meriah dengan kehadiran rakan berbangsa India seperti Tarunraaj bersama Tamilselvan dan tidak lupa juga pemandu wanita Chan Sook Ping.

- Jikalau anda berfikir yang main rali ini adalah kereta salon / sedan / hatchback sahaja tanggapan anda mungkin berubah apabila terdapat Perodua Kembara yang dipandu oleh Farid Adley berpasangan dengan Mark Levon Gregory turut mempamerkan aksi yang sedikit gila sewaktu sesah konar. Untuk yang tidak tahu, Mark Levon ini merupakan anak kepada Juruarah handalan negara Sean Gregory.
- Akhir perlumbaan, ianya menjadi milik pemandu lejen negara, Saladin Mazlan yang berjaya menebus kehampaan sebelum ini dengan hanya kelebihan 5 saat sahaja di hadapan Haji Sutan.
- Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Mitch Chong setelah ketinggalan kira – kira 2 minit di belakang Saladin.

- Melengkapkan lima tempat teratas adalah pasangan Shafiq Samsudin & Shasha Shafie dan juga Faidzal Alang & Zamri Muhamat.
- Apa pun tahniah kepada semua pemenang dan peserta kerana menyertai Rally Sprint kali ini. Tidak lupa juga kepada Tim Penganjur yang bekerja keras untuk menjayakannya. Rally Sprint akan berlabuh tirai setakat ini. Jumpa lagi tahun hadapan. Selepas ini kita beri laluan kepada acara perlumbaan rali seterusnya pula.
BACA : KBS RALLY SPRINT 2024 – MITCH CHONG MEMBUAT KEJUTAN UNTUK MENANG
BACA : KBS RALLY SPRINT 2022 Rd.2 – SIAPA YANG MENANG KALI INI? SALADIN MAZLAN LAGI KAH?