Artikel Pilihan

INI RAHSIANYA UNTUK MENJUAL KENDERAAN DI INDONESIA

Pasaran kenderaan di rantau Asia Tenggara ini kita harus akui, bahawa Indonesia merupakan salah satu lubuk yang besar buat mana – mana pengeluar kenderaan di seluruh dunia. Berebut mereka hendakkan pasarkan model terkini kepada pengguna di sana. Dan beberapa model seperti kenderaan penumpang tujuh tempat duduk serta kenderaan Segmen A jelas menjadi tumpuan utama.

Untuk yang kurang arif, pasaran kenderaan di Indonesia sebenarnya agak unik. Berbanding di tempat kita, sebagai contoh Toyota Rush kita hanya mempunyai dua varian sahaja. Dan kedua varian S dan G hanya didatangkan dengan transmisi auto. Berbanding di Indonesia, ianya didatangkan juga dengan pilihan transmisi manual bagi varian standard atau pun varian tertinggi. Makna kata, Toyota Rush di Indonesia punya empat varian yang boleh dipilih.

Itu belum lagi bercerita tentang model agung Indonesia, Toyota Avanza. Berbanding tempat kita hanya punya tiga varian, di Indonesia variannya jauh lebih banyak. Bayanngkan, pilihan untuk Avanza terdapat sehingga 10 varian yang boleh dipilih meliputi pilihan trenkuasa 1.3 liter dan juga 1.5 liter mengikut jenis transmisi. Dan tahukah juga bahawa, untuk varian tertinggi, nama Toyota Veloz telah dipilih bagi menggantikan nama Avanza.

Tapi sebenarnya bukan itu (kepelbagaian varian / trenkuasa) yang ingin BK kongsikan. Tahukah bahawa di Indonesia sana mereka amat menggemari model tingkat taraf yang ditawarkan secara asli daripada pengedar rasmi. Misalannya, barisan produk Toyota cukup gah dengan varian TRD Sportivo sebagai varian tertinggi dalam katalog jualan. Tapi kini mereka telah membuang jenama TRD yang seakan tidak lagi relevan dengan Toyota pada masa kini.

Kini mereka mempertaruhkan pula lencana GR Sport pada barisan model mereka seperti Rush, Agya dan sudah tentulah Avanza GR Sport. Penampilan kit badan yang garang serta beberapa perincian ruang dalaman biasanya menjadi intipati pada barisan model sebegini. Tapi usahlah diharap Veloz GR Sport ini mampu memecut laju nak kejar model asli GR Yaris. Ambil selekoh tajam pun jenuh nak tekan pedal brek sambil berdiri bimbang terbalik. Tapi oklah, paling penting rupanya harus sporty. Perlahan belakang kira.

Jikalau Toyota gah dengan GR Sport, Honda pula mempertaruhkan varian RS bagi memikat pemilik muda mudi mahu pun ibu ibu dan bapak bapak yang jiwanya muda belia. Sebelum ini pun BK pernah menulis perihal model Brio RS Urbanite. Dan barisan RS dalam katalog honda rasanya pun tidak kurang hebatnya juga. Mereka punya Mobilio, City Hatcback, dan yang paling menarik perhatian sudah tentulah model Civic Hatchback versi RS. Tapi yang ini memang laju, bukan sekadar paras rupa sporty semata. Ianya didatangkan dengan trenkuasa 1.5 liter DOHC VTEC Turbo. Kalau dapat dak dak H kat Tanah Melayu, confirm terus convert Type R FK8 tanpa rasa bersalah. Alangkan Civic sedan tu pun pakat bubuh kit badan Type R serupa nak masuk pertandingan Kereta Autoshow tanpa rasa berdosa. Tak kisahlah. Duit personal loan AEON Credit masing – masing kan.

Memandangkan kedua pengeluar utama ini mempunyai model varian tertinggi masing – masing, bagaimana pula dengan Mitsubishi? Adakah Xpander Ralliart dijual di sana? Memandangkan divisyen permotoran tersebut telah pun ditutup, maka Mitsubishi terpaksa bergabung dengan pihak ketiga, Rockford Fosgate bagi menawarkan model Xpander RF Black Edition kepada pengguna di sana. Bolehlah kan.

Cumanya perasan kasihan boleh diberikan sedikit kepada model Nissan Livina (rebadge Xpander). Tiada model Livina Nismo yang ditawarkan. Nissan Indonesia hanya menawarkan model yang didatangkan dengan Sporty Package tanpa ada sebarang lencana untuk diagungkan tak tentu pasal.

Walau pun ianya nampak macam tak berapa masuk akal, hakikatnya varian tertinggi dengan lencana divisyen permotoran daripada pengeluar akan sentiasa menjadi pilihan buat mereka yang inginkan sesuatu yang lebih istimewa daripada bilik pameran kereta tanpa perlu ke kedai Abang’s.

Sekarang ngertikan mengapa Daihatsu Sirion (Perodua Myvi) tidak berapa laku di sana? Jangan nak karut sangat kata ianya buatan Malaysia. Itu belum kira terpaksa bersaing dengan model jenama dari Jepun lagi. Ke macam mana?

BACA : HONDA BRIO RS URBANITE – KEMAIN URBAN NAMA

BACA : TOYOTA LANCAR AGYA GR SPORT DI INDONESIA. AXIA VERSI SPORTY, BERMULA RM45K

Google ads

B K

Back to top button