Buletin

KEMENTERIAN CADANG BAHANAPI B20/B30 UNTUK DASAR AUTOMOTIF BARU (NAP)

Kementerian Industri Utama sedang berunding dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasukkan spesifikasi “B20 / B30” untuk kenderaan dalam kajian Dasar Automotif Kebangsaan (NAP), menurut menterinya, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata kementerian juga sedang bersedia untuk menghasilkan biofiber kelapa sawit bagi industri penerbangan.

“Ini adalah untuk memenuhi komitmen kami sebagai ahli Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengguna pakai dan melaksanakan Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang bertujuan menangani pelepasan karbon dioksida (CO2) untuk penerbangan sektor antarabangsa.

“Ini adalah pendekatan inovatif dan mesra pengguna. Selaras dengan komitmen untuk menyokong kelestarian alam sekitar berdasarkan kepada peraturan CORSIA, syarikat penerbangan yang menghasilkan CO2 melebihi 10,000 tan setiap tahun harus melaporkan data pelepasan karbon mereka dari Januari 2019 untuk pemantauan,” katanya pada taklimat media yang menandakan ulang tahun satu tahun Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Kok berkata peraturan ini akan menjadi mandatori untuk semua penerbangan antarabangsa dari tahun 2027.

Penggunaan biojet minyak sawit telah diterima oleh CORSIA sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Program biodiesel dan biojet ini merupakan pendekatan yang inovatif dengan peningkatan penggunaan biodiesel kelapa sawit yang mesra alam melalui Program B10 (gabungan 10 biodiesel sawit dan 90 peratus diesel) untuk sektor pengangkutan mulai 1 Feb 2019.

Sementara itu, Program B7 akan diperkenalkan bagi sektor perindustrian mulai 1 Julai 2019.

“Pelan penambahbaikan biodiesel ini telah ditangguhkan sejak 2016 tetapi sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kami mempercepat pelaksanaan untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta meningkatkan penggunaan minyak sawit.

“Kedua-dua program itu dijangka menggunakan 761,000 tan minyak sawit setahun.

“Malah, kementerian sedang bersedia untuk melaksanakan program B20 / B30 seawal tahun 2020 dan usaha kerjasama dengan pihak berkepentingan industri dan kementerian berkaitan seperti MITI dan Kementerian Pengangkutan sedang dijalankan,” katanya.

KREDIT: BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button