Buletin

PERODUA SOKONG KOMITMEN MITI PERKASA EKOSISTEM AUTOMOTIF

Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) menyambut baik pendekatan diperkenalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menekankan dasar tanpa diskriminasi bagi pelaksanaan pemasangan tempatan (CKD), termasuk untuk kenderaan elektrik (EV).

Persatuan yang mewakili sebahagian besar pengeluar komponen automotif tempatan itu menyifatkan langkah kerajaan menetapkan syarat kapasiti tinggi secara seragam kepada semua jenama tanpa mengira asal usul sebagai satu pendekatan strategik untuk masa depan industri.

Menurut P2SA, dasar berkenaan bukan sahaja memberikan kejelasan kepada pemain industri, malah membantu memastikan perkembangan pesat sektor EV tidak menjejaskan ekosistem automotif tempatan yang telah lama dibina.

Dalam masa sama, komuniti pembekal tempatan dilihat bersedia untuk beralih ke arah e-mobiliti dengan memanfaatkan pelaburan sedia ada dalam teknologi dan peningkatan kapasiti pengeluaran.

Menurutnya dalam satu kenyataan, pendirian yang diambil MITI juga dianggap mampu melindungi pelaburan industri tempatan, selain membuka ruang kerjasama lebih luas antara pengeluar antarabangsa dan vendor tempatan.

Pendekatan ini diyakini dapat memastikan aktiviti pemasangan dalam negara bukan sekadar operasi akhir, sebaliknya menjana nilai ekonomi lebih besar kepada rakyat.

P2SA turut berpandangan bahawa pelaksanaan Dasar Automotif Negara mampu memperkukuh rantaian bekalan melalui penglibatan lebih aktif pembekal tempatan berpengalaman, di samping mewujudkan persaingan sihat antara semua pemain industri.

Selain itu, langkah berkenaan juga penting dalam melindungi peluang pekerjaan, khususnya bagi tenaga kerja mahir dalam sektor vendor automotif yang menjadi tulang belakang industri.

Tambahnya lagi, P2SA menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong hala tuju dasar kerajaan, termasuk menyediakan komponen dan kepakaran teknikal bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dalam mobiliti mampan.

Google ads
Back to top button