
KENALI ZXMOTO 820RR-RS, DENGAN ÖHLINS DAN BREMBO GP4 – 150HP, 175KG
ZXMoto merupakan jenama baharu dari China yang berjaya mencuri tumpuan dunia dalam tempoh singkat.
Kurang dua tahun sejak penubuhan pada tahun 2024, ZXMoto mengejutkan peminat sukan permotoran apabila jentera 820RR berjaya menempatkan diri di barisan hadapan ketika sesi kelayakan dalam debut sulung di Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) 2026 di Australia.

Meskipun bergelut mendapatkan keputusan ketika perlumbaan sebenar berlangsung namun sebagai jentera lumba yang dibangunkan dalam tempoh singkat, senario ini adalah satu perkembangan yang menakjubkan.
Manakan tidak, jentera yang baru dibangunkan kurang dari tempoh dua tahun sudah mampu memberi saingan sengit berhadapan jentera yang sudah bertahun dipasarkan.

Untuk rekod, 820RR hadir dengan tiga varian, 820RR, 820RR-R dan 820RR-RS yang merupakan varian flagship dan hadir dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Öhlins dan brek Brembo GP4.
Atas kertas, 820RR dikuasakan enjin tiga silinder 819cc berprestasi tinggi. Enjin ini menghasilkan 135hp (820RR), 145hp (820RR-R) dan 150hp (820RR-RS).

Menariknya, versi standard juga sudah dilengkapi dengan ciri elektronik premium termasuk 6-axis IMU yang menawarkan fungsi seperti cornering ABS dan lean-sensitive traciton control. Meskipun sebuah jentera supersport, ketiga-tiga varian didatangkan dengan fungsi cruise control secara standard.
Dalam pada itu, varian 820RR-R hadir dengan panel badan gentian karbon, rim aluminium, ekzos titanium, fork KYB boleh laras dan panel meter 6.2-inci dengan sokongan Android.

Sementara itu, varian 820RR-RS (dengan 150hp) didatangkan dengan ekzos Akrapovic, conrod dan valve titanium. Model ini mengguna pakai suspensi Öhlins dan menggantikan brek Brembo standard pada varian 820RR dan 820RR-R dengan Brembo GP4. Selain itu, 820RR-RS ini juga dilengkapi dengan tangki aluminium serta subframe magnesium.

Kami difahamkan bahawa jenama ZXMoto akan turut dipasarkan di Malaysia namun belum didedahkan lagi siapakah pengedar rasmi yang bakal dilantik.







