Motosikal

QJMOTOR SERTAI WORLDSSP DENGAN SRK 800 RR – 101HP, 207KG

Baru-baru ini Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) telah pun mengemas kini senarai musim 2024. 

Bagaimanapun, daripada senarai tersebut, salah satu daripadanya mencuri tumpuan kami dan melibatkan kategori Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP). 

Pelumba Raffaele De Rosa dilihat akan mengemudi jentera yang belum pernah beraksi di WordSSP sebelum ini. Jentera yang dimaksudkan itu adalah QJMOTOR SRK 800 RR sekaligus mengesahkan penyertaan sulung jenama motosikal China itu di WorldSSP. 

Senario itu juga menyaksikan kali pertama QJMOTOR akan mempertaruhkan jentera sendiri di pentas kejuaraan dunia selepas muncul penaja utama pasukan Reale Avintia di Moto3. 

Untuk rekod, SRK 800 RR merupakan sebuah model baharu yang diperkenalkan di EICMA 2023 baru-baru ini. 

Menariknya, reka bentuk enjin tersebut mirip Honda CBR650R namun dengan stoke yang lebih panjang. QJMOTOR SRK 800 RR ini juga guna pakai kerangka yang mirip dengan CBR650R. 

Apa pun, QJMOTOR pastinya perlu bekerja keras bagi memastikan jentera SRK 800 RR itu dapat bersaing dengan jentera lain. Ini kerana atas kertas, SRK 800 RR menghasilkan hanya 101hp dan ketinggalan di belakang Yamaha R6 (118.4hp), Honda CBR600RR (119.4hp) dan Ducati Panigale V2 (155hp). 

Namun kami difahamkan, QJMOTOR hanya akan bertanding dalam kategori Supersport Challenge yang bermakna mereka hanya akan beraksi di pusingan Eropah sahaja dan akan terlepas saingan pembukaan di Litar Phillip Island, Australia. 

Google ads
Back to top button